'Tak pernah menyesal', fans jelita Selangor FC kongsi detik berharga bersama pasukan kesayangan


  • Podium
  • Ahad, 07 Mei 2023

Sejak 2015 sehingga kini Syuhada tidak pernah tertinggal untuk turun stadium membabitkan pasukan Selangor.

TIDAK ramai wanita meminati sukan bola sepak apatah lagi obses untuk turun di setiap perlawanan pasukan yang diminatinya secara berseorangan bagi menyuntik semangat para pemain-pemain.

Perkara tersebut bukanlah benda asing buat Nur Syuhada Muhamad Ibrahim yang telah menyokong pasukan Selangor FC buat sekian lama.

Syuhada sering menjadi topik bualan penyokong-penyokong bola sepak tempatan di media sosial apabila kelibatnya sering kali berada di stadium bola sepak.

"Sejak umur empat tahun ayah suka bawa pergi stadium masa menetap di Alor Setar, Kedah.

"Kemudiannya saya berhijrah ke Selangor dan masa itu Shah Alam terlalu jauh jadi saya menonton dan sokong di televisyen sahaja.

"Saya mula menyokong Selangor pada 2015 yang mana tahun tersebut saya mula turun stadium setiap kali Gergasi Merah beraksi.

"Sejak Selangor main di Stadium Selayang saya tak pernah tertinggal satu pun perlawanan 'home' walaupun mereka bertukar-tukar stadium dari Shah Alam sehingga kini.

"Seterusnya pada 2017, saya mula mengikuti pasukan Selangor apabila mereka main di tempat lawan," katanya pada Majoriti.

Snapinsta.app_342097826_174770025493886_8500874542856261725_n_1080

Syuhada mula menyokong skuad Gergasi Merah sejak 2015.

Tambahnya lagi tiada isitlah menyesal dalam dirinya sepanjang bergelar penyokong Selangor dan dia turut berkongsi pengalaman paling berharga sejak menyokong skuad Gergasi Merah.

"Perkara paling menyesal pernah dibuat sebagai penyokong? Bagi saya tiada benda yang menyesal untuk kita sokong kelab yang kita sayang.

"Walapun saya bukan anak jati Selangor, tetapi di mana Selangor bermain saya tetap berada di sana lebih-lebih lagi di halaman sendiri.

"Pengalaman paling tidak boleh dilupakan sepanjang bergelar penyokong ialah dapat masuk 'corporate box' di Stadium Shah Alam," ujarnya.

Bas Thailand

Syuhada semasa dalam perjalanan ke Thailand bagi menyokong skuad kebangsaan.

Syuhada juga berkongsi kegilaan yang dilakukannya sepanjang bergelar penyokong sama ada pasukan Selangor mahupun skuad kebangsaan.

"Setiap kali Selangor bermain di tempat lawan, sebagai seorang wanita saya akan memandu berseorangan di mana sahaja Selangor bermain.

"Kegilaan paling tak boleh lupa ialah menyokong pasukan kebangsaan di Thailand.

"Demi Malaysia, ketika itu saya pergi Thailand naik bas selama dua hari untuk sampai ke destinasi yang dituju.

"Itulah pengalaman 'first and last' saya semasa menyokong Harimau Malaya di Bangkok.

Dia juga seringkali mengumpul dan membeli barangan rasmi Selangor FC bagi membantu kewangan pasukan serta gemar untuk menyimpan jersi kelab-kelab di Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram