Andai Soony angkat kaki, 3 bekas pemain dari Kelantan, Pahang, Timur Tengah wajar dipanggil semula


  • Podium
  • Rabu, 10 Mei 2023

Keunggulan Soony bersama pasukan Utara tanah air itu mula menjadi bahan bualan hangat. — Facebook/Penang FC

PENYERANG kelahiran Lubnan, Soony Saad dianggap sebagai permata buat Penang FC dengan sumbangan serta persembahannya jarang mengecewakan.

Dia yang ditandatangani sejak tidak terikat dengan mana-mana pasukan sejak Jun 2022 pada awalnya menimbulkan persoalan berdasarkan statistiknya sebelum-sebelum ini.

Namun, dengan tujuh gol, termasuk dua dalam Piala FA sudah cukup membuktikan kepentingan pemain berusia 30 tahun itu dalam skuad Harimau Kumbang.

Kecemerlangannya juga memainkan peranan cukup penting apabila Penang FC ketika ini berada di tangga ketujuh di samping masih tidak tersingkir dari kancah Piala FA.

Bagaimanapun, baru-baru ini, khabar angin mengatakan Soony mula menarik perhatian beberapa pasukan Liga Super yang masih belum didedahkan.

71671755552_SoonySaad

Kehadiran Soony pada awalnya tidak membangkitkan perasaan hangat dalam kalangan penyokong. Facebook/Penang FC

Perkara itu disampaikan ejennya yang mana seakan-akan mengesahkan perkara terbabit dengan ura-ura mengatakan pemain berketinggian 1.82 meter itu dirisik sebuah kelab 'gergasi'.

Jadi, pihak pengurusan Penang FC pasti gusar sekiranya pemain berkenaan memilih untuk berkelana menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super yang dijangka bakal dibuka pada Julai.

Tambahan pula, dengan struktur kewangan yang sedikit lemah, pasukan Utara tanah air itu pastinya terpaksa meletakkan sasaran realistik jika hendak menggantikan Soony.

Namun, sekiranya perancangan lebih awal dibuat, skuad Harimau Kumbang berpotensi untuk mengelak isu kesesuaian jika mereka bertindak membawa masuk beberapa bekas pemain yang boleh diletakkan di posisi serangan.

Melihat kepada situasi ketika ini, terdapat tiga pemain yang berpotensi untuk kembali menyarung jersi Penang FC andai Soony memilih untuk mencari angin baharu.

1. Nurshamil Abd Ghani

Penyerang kelahiran Melaka, Nurshamil Abd Ghani mencuri perhatian musim lalu selepas muncul sebagai penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana bersama Kelantan FC.

Kebolehannya untuk menghidu peluang cukup memberangsangkan dengan sembilan gol yang diraihnya meletakkan skuad The Red Warriors (TRW) sebagai naib juara.

Meskipun beberapa kali dipersoalkan mengenai gaya permainannya, ketajamannya di hadapan pintu gawang lawan sukar untuk dipersoalkan, lebih-lebih lagi sekiranya peluang keemasan terhidang.

Namun, musim ini, perkara sebaliknya berlaku apabila pemain berusia 28 tahun terbabit lebih kerap diletakkan di bangku simpanan Kelantan FC.

WhatsApp Image 2023-05-09 at 22.43.18

Nurshamil ketika bersama Penang FA yang memenangi Liga Perdana 2020. Facebook/Penang FA

Hubungan tegang dengan pihak pengurusan di samping masalah di luar padang menyebabkan Nurshamil hanya merekodkan lima penampilan setakat 10 perlawanan.

Tambahan pula, dengan hanya satu gol yang dijaringkan, pemain berkenaan dijangka bakal diberikan peluang untuk mencari angin baharu.

Oleh itu, dengan dia pernah mewakili skuad Harimau Kumbang yang ketika itu berada di Liga Perdana, ia merupakan destinasi terbaik buatnya.

Walaupun Penang FC mempunyai ideologi dan falsafah berbeza ketika ini, Nurshamil berpeluang mendapatkan semula momentumnya dengan Manzoor Azwira Abd Wahid kini bergelar pemangku jurulatih.

2. Sergio Aguero

Antara pasukan yang mencipta kejutan musim ini ialah Sri Pahang FC yang berada di kedudukan ketiga Liga Super selepas tidak mencatatkan sebarang kekalahan selepas 10 perlawanan.

Gandingan dan hubungan baik antara pihak kejurulatihan dan pemain membolehkan masing-masing menampilkan persembahan terbaik berbanding tahun lalu.

Jadi, terdapat kemungkinan besar bahawa hampir kesemua individu dalam skuad Tok Gajah tidak mahu meninggalkan kelab Pantai Timur berkenaan pada masa terdekat.

Namun, melihat kepada kapten pasukan, Sergio Aguero, kekurangan minit permainan boleh memberi kesan terhadap pendiriannya bersama Sri Pahang.

WhatsApp Image 2023-05-09 at 22.43.53

Kepulangan Aguero pastinya dialu-alukan penyokong Penang FC. Facebook/Penang FA

Meskipun diberikan lilitan tangan awal musim lalu, masalah kecederaan dan kecergasan menyaksikannya lebih kerap beraksi dari bangku simpanan.

Setakat 10 perlawanan Liga Super, pemain naturalisasi negara tersebut hanya diturunkan sebanyak lima kali dengan hanya tiga daripadanya bermula dengan kesebelasan utama.

Jadi, dengan lambakan pemain yang boleh mengisi posisinya sebagai penyerang dan juga pemain tengah, terdapat kemungkinan khidmatnya akan kurang ditagih pada masa akan datang.

Sekiranya dia mahu memastikan minit permainannya tidak terkesan, perpindahan ke mana-mana pasukan, terutamanya Penang FC boleh dikatakan sebagai solusi terbaik.

Di samping berpengalaman beraksi bersama kelab Utara tanah air itu, kebolehan Aguero untuk mengisi kekosongan Soony pasti tidak boleh dipersoalkan melihat kepada persembahannya di atas padang.

3. Sheriddin Boboev

Sheriddin Boboev, atau juga dikenali sebagai 'Pak Din' dalam kalangan penyokong Penang FC pernah mencipta nama ketika pasukan itu menamatkan saingan Liga Super 2021 di tangga ketiga.

Meskipun tubuhnya yang kecil menimbulkan persoalan, pemain berkenaan tidak menunggu lama untuk mempamerkan kehebatannya di atas padang.

Enam gol yang dijaringkannya dalam 22 penampilan sudah membuktikan dia mempunyai kredibiliti untuk membantu jentera serangan pasukan.

Penang FC yang ketika itu dikendalikan Tomas Trucha bagaimanapun gagal untuk mengekalkan khidmat pemain kelahiran Tajikistan tersebut pada musim berikutnya.

WhatsApp Image 2023-05-09 at 22.43.25

Pak Din pernah mencipta momen-momen hangat bersama skuad Harimau Kumbang. Facebook/Penang FC

Kini, Sheriddin sedang beraksi bersama kelab Iran, Sanat Naft yang berada di tangga ke-15 daripada 16 pasukan dengan hanya dua perlawanan berbaki.

Oleh itu, dengan peluang cukup cerah untuk pasukan berkenaan diturunkan ke divisyen bawahan, Sheriddin pasti terbuka untuk mencari majikan baharu.

Tidak cukup dengan itu, khidmat dan bakatnya bersama Sanat Naft juga sepertinya tidak dihargai memandangkan dia hanya beraksi sebanyak tujuh kali sepanjang musim.

Jadi, sekiranya Penang FC perlu mencari seseorang yang boleh menggantikan Soony, Pak Din merupakan pilihan terbaik melihat kepada pengalamannya sebelum ini.

Tambahan pula, dengan usianya yang baru sahaja mencecah 24 tahun, pasti pintu akan terbuka dengan luas untuk mengalu-alukan kehadirannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram