Fandi Ahmad akui kadang-kadang menang nasib


  • Podium
  • Selasa, 09 Mei 2023

Fandi mengingatkan pemain bahawa mereka perlu buktikan Sri Pahang layak berada di kedudukan teratas liga. — Facebook/SriPahang

SELEPAS 10 perlawanan Liga Super, Sri Pahang masih mengekalkan rekod tanpa kalah mereka, selain membanggakan penyokong skuad Tok Gajah apabila kekal unggul menghuni tiga tangga teratas.

Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad bagaimanapun menegaskan ia bukan alasan untuk mendabik dada walaupun perkara tersebut adalah pencapaian terbaik skuad Tok Gajah selepas beberapa tahun selepas kali terakhir melakukannya pada 2019.

Memetik laporan dari media rasmi Sri Pahang, Sripahangfc.com.my, pengendali dari Singapura itu mengakui gembira dengan pencapaian yang disifatkan sebagai mengagumkan ini namun beliau mengingatkan barisan pemain agar tidak leka mahupun terbuai sebaliknya kekal fokus untuk memberi yang terbaik dalam setiap perlawanan.

WhatsApp Image 2023-05-09 at 09.02.20

Tok Gajah sebelum ini menewaskan Terengganu FC 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. — Facebook/SriPahang

"Semua bercakap tentang rekod tanpa kalah, saya tidak mahu melihat kepada rekod. Menang dan kalah itu adat bertanding, tidak selamanya kita akan dapat bertahan, kekalahan akan tetap hadir cuma kita tidak tahu bila.

"Kadang kala kita dibantu faktor nasib, tapi kita tidak boleh sentiasa bergantung kepada nasib. Kita perlu catat keputusan yang baik melalui apa yang kita tunjukkan di atas padang, kita perlu bekerja keras dan perbaiki kelemahan, tingkatkan kualiti dan yang penting mempunyai semangat melawan yang tinggi.

"Kita tidak mahu menang disebabkan pasukan lawan tidak menjadi, pemain perlu berusaha dan membuktikan bahawa kita memang layak berada di kedudukan sekarang ini," kata Fandi.

Sebagai rekod, dalam 10 perlawanan yang telah diharungi, Sri Pahang mencatat enam kemenangan dan empat keputusan seri.

Sri Pahang ketika ini mengumpul 22 mata dan berada di belakang pasukan tangga kedua Selangor, dipisahkan hanya melalui beza jaringan manakala Sabah pula di kedudukan keempat, dua mata di belakang kita.

Selepas ini, rekod tanpa kalah skuad Tok Gajah akan diuji oleh pasukan Penang FC yang bertandang ke Stadium Darul Makmur pada 20 Mei 2023.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram