BEK Kelantan United FC, Ariff Ar-Rasyid menyifatkan pasukan itu dalam misi mempersiapkan mental dan fizikal bagi berdepan tugas sukar menentang Johor Darul Takzim (JDT) pada Sabtu (13 Mei) ini.
Liga Malaysia (Liga M) kini berehat bagi memberi laluan kepada skuad Bawah-22 kebangsaan di pentas Sukan SEA dan tempoh masa yang ada ini amat penting untuk skuad kendalian Nazrulerwan Makmor memastikan pasukan bersedia untuk memberi tentangan kepada JDT.
Sedar ia bukan perlawanan mudah jika dilihat prestasi pasukan yang masih lagi ketandusan kemenangan, Ariff tidak mahu memikirkan tekanan tersebut selain berharap mereka mampu meraih sekurang-kurangnya satu mata.
Apa yang pasti, Kelantan United masih belum mengangkat bendera putih meskipun bergelut di tangga tercorot Liga Super dengan hanya dua mata setakat ini.
Ariff sebelum ini beraksi bersama Penang FC. — Instagram/Ariff
“Habis sahaja daripada berehat, kita terus akan berdepan perlawanan sukar dan kami sedar jurang yang ada antara JDT dan Kelantan United.
“Sudah tentu tekanan itu agak tinggi tetapi sekarang yang penting adalah bagaimana pemain-pemain tahu mempersiapkan diri terutamanya dari segi mental dan fizikal.
“Banyak kerja rumah yang perlu dilakukan tetapi kita masih ada banyak masa untuk lebih bersedia kali ini menentang JDT.
“Memandangkan pasukan pun masih belum meraih kemenangan, kami tidak pernah berputus asa dan berharap selepas ini prestasi yang lebih baik dapat ditampilkan," jelasnya memetik laporan MFL.
Bekas pemain Penang FC itu kini dalam fasa untuk memastikan dia pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali yang dialami sejak pra musim.
Meskipun tidak terlalu serius, Ariff enggan situasi itu menghalangnya untuk kerap beraksi apabila kini telah diturunkan dalam empat perlawanan.
“Saya sebelum ini cedera di bahagian buku lali kiri dan kena ketika pra musim.
“Sekarang Alhamdulillah tiada yang serius, cuma kadang-kadang tu ada perlawanan yang saya tak main.
“Dan kalau boleh selepas ini mahu bebas sepenuhnya dari kecederaan supaya tiada lagi masalah untuk saya meraih minit permainan," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,