DISANGKAKAN kemenangan Kelantan FC menentang Penang FC 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada 5 Mac lalu membuka lebih banyak ruang kepada pasukan Pantai Timur untuk menguasai perlawanan seterusnya.
Rupanya ia hanyalah pemula kepada episod derita kepada skuad The Red Warriors (TRW) apabila mereka terus dibenamkan oleh pihak lawannya dalam kesemua lapan perlawanan yang ditempuh.
Kekalahan secara berterusan itu kini menempatkan mereka di tangga kedua tercorot dalam Liga Super 2023.
Walaupun pasukan tersebut dilihat terpaksa menempuh lorong berliku sepanjang liga tersebut, mereka terus mengharapkan sinar di hujung terowong.
Bagaimanapun, ada suara-suara kurang enak didengar daripada para peminat bola sepak tempatan mengatakan pasukan tersebut tidak sepatutnya meletakkan harapan tinggi dalam Liga Super musim ini.
Seorang pemerhati bola sepak, Mohd Hairul Imran berkata, antara sebab TRW bergelut dan mengalami kesukaran dalam liga tersebut ialah meletakkan harapan yang terlampau tinggi serta tidak jelas antara impian, cita-cita dan sasaran mereka.
Malah katanya, pasukan Pantai Timur itu sepatutnya tidak meletakkan sebarang sasaran dalam Liga Super musim ini, sebaliknya menumpukan persiapan menghadapi Liga Perdana.
"Kita belum mempunyai skuad kompetitif. Tak boleh salahkan jurulatih atau pemain. Fahami, bajet kita tidak cukup untuk itu.
"Akhir sekali semuanya runtuh terutamanya emosi. Semoga kembali tersusun dan stabil bukan senang nak bina satu kejayaan dalam sekelip mata," katanya.
Sesi latihan TRW di Padang Pertanian Lundang, Kota Bharu, Kelantan bagi persiapan pasukan untuk menghadapi perlawanan Liga Super pada 19 Mei 2023. — Facebook/TRW Kelantan FC
Bagi Muda Aguero pula, TRW perlu bijak membezakan antara kaca dengan permata bagi mendapatkan pemain berkualiti untuk pasukan tersebut, tidak kira pemain tempatan atau import.
"Apa-apa pun nak cari import atau local player kena pandai. Bukan tangkap muat.
"Bukan soal kewangan kukuh atau tak, bajet ikut kemampuan betul dan carilah pemain yang ikut bajet tapi berbaloi. Nak urus (pasukan) bola sepak kena ada ilmu bab bola sepak, mana-mana pekerjaan pun sama," katanya.
Tidak salah meletakkan harapan untuk menang kerana siapa pula yang mahu tewas dalam setiap perlawanan yang ditempuh, namun ia perlulah realistik dan padan dengan keupayaan pasukan ketika itu.
"Kalah menang biasa saja, kalah selalu ini yang jadi luar biasa," sindir Francis Ford Coppola.
TRW bakal berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada 19 Mei ini terus memberikan saingan terhadap pasukan Pantai Timur.
Dengan prestasi yang ditunjukkan setakat ini, mungkin mendapat keputusan seri daripada perlawanan menentang Sang Kenari itu satu keajaiban buat pasukan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram