JIKA berbicara mengenai sebuah kelab bola sepak, pemain, jurulatih dan penyokong pastinya perkara pertama yang terlintas di fikiran.
Kehadiran serta kelibat mereka sememangnya menjadi antara tulang belakang untuk memastikan sukan itu terus berkembang mengikut peredaran zaman.
Namun, di sebalik ketiga-tiga entiti terbesar itu, pasti adanya beberapa individu lain turut memainkan peranan yang cukup penting.
Pemandu bas, kitman dan jurumasak juga ada kalanya diberi perhatian, lebih-lebih lagi sekiranya khidmat mereka disebut-sebut pemain setiap kali di hadapan lensa kamera.
Bagaimanapun, jika hendak dibandingkan, terdapat seorang lagi individu yang kurang diberi penghargaan meskipun kerap meluangkan masa bersama pasukan.
Jurugambar atau pegawai media merupakan pihak yang cukup penting di sebalik kemegahan serta pencapaian sesebuah pasukan di dalam dan luar padang.
Kepantasan mereka untuk melakukan tugasan yang dipikul memainkan peranan amat besar memandangkan penyokong bola sepak sering mahu mendapatkan info terkini.
Bukan itu sahaja, kualiti kerja, termasuk foto dan video yang dimuat naik di halaman media sosial menjadi kayu ukur kehebatan kelab, lebih-lebih lagi di dunia digital.
Perkara itu juga tidak terkecuali di Malaysia apabila individu-individu tersebut sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan lagi imej majikan mereka.
John cukup dikenali dengan kesungguhan dalam melaksanakan tugasnya sebagai jurugambar KL City FC. — Instagram
Antara yang pernah dipuji atas titik peluh ketika melaksanakan tugas sebagai jurugambar dan pegawai media ialah Muhammad Syafiq Khir Anuar yang bertugas bersama Kuala Lumpur (KL) City FC.
Dia yang lebih dikenali sebagai John dalam kalangan rakan terdekat dan pengamal media sukan merupakan antara wajah yang paling kerap dilihat setiap kali skuad Warga Kota beraksi.
Katanya, penglibatannya dalam dunia fotografi sukan, khususnya bola sepak berpunca daripada pendedahan pensyarahnya ketika masih menimba ilmu di peringkat universiti.
"Saya mula jadi pegawai media kepada KL City FC pada 2021. Sebelum itu, saya hanya menjalankan tempoh latihan amali saya bersama KLFA pada akhir 2019.
"Kemudiannya, saya hanya bekerja sambilan pada 2020 ketika negara berdepan situasi Covid-19 sebelum akhirnya diserap menjadi pekerja tetap pada tahun berikutnya," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya lagi, dia turut diberi pendedahan lebih jelas dalam bidang tersebut apabila berkhidmat di bawah bekas pegawai media KL City FC yang juga merupakan bekas penyelianya.
Foto yang diangkat The Biddy's sebagai 'Photo of the Year' 2021. — Instagram/thebiddys
Berusia 27 tahun, John sebelum ini pernah menjadi topik sensasi dunia bola sepak tanah air apabila sekeping gambarnya ketika aksi Piala Malaysia 2021 diangkat sebagai 'Photo of The Year' 2021 oleh The Biddy's.
Foto yang memaparkan penyerang kelahiran Colombia, Romel Morales sedang bersorak di hadapan lensa kamera seakan-akan menceritakan 1,001 kisah di sebalik dunia fotografi sukan.
"Yang paling saya tidak boleh lupa ketika pentas akhir itu kerana gambar saya mendapat perhatian memandangkan hanya saya seorang memiliki gambar tersebut.
"Gambar itu dirakam ketika Morales datang dan meraikan jaringan sebelum cium lensa kamera saya, itu adalah antara foto yang terbaik pernah saya ada dan ia pernah tular pada tahun itu," katanya.
Dalam perlawanan itu, KL City FC mengejutkan arena bola sepak tempatan memandangkan mereka merupakan sebuah kelab kecil yang dapat dua kali menembusi gawang lawan mereka, iaitu Johor Darul Takzim.
Jaringan Paulo Josue dan Zhafri Yahya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu sememangnya cukup penting apabila ia merupakan kejuaraan kali keempat buat pasukan Lembah Klang itu.
John berpeluang mengelilingi dunia ketika kempen Piala AFC skuad Warga Kota. — Instagram
Kemenangan itu juga sekali gus membantu kelab itu layak ke pentas Asia buat pertama kali sejak 1995, yang mana juga satu pengalaman cukup berharga buat John.
"Walaupun kita tidak menjuarai Piala AFC, saya amat bangga kerana kita boleh capai tahap yang memang tiada siapa boleh jangkakan kerana kita layan ke pentas akhir menentang kelab Oman, Al-Seeb.
"Bukan perkara yang mudah untuk berentap dalam pertandingan itu kerana kita banyak berkunjung ke negara lawan, seperti India, Uzbekistan, Vietnam dan luar negara, jadi perkara ini cukup mencabar," katanya.
Tambah graduan Ijazah Sarjana Muda Fotografi Kreatif Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, hubungan yang cukup akrab antaranya dan staf di sebalik tabir juga memainkan peranan cukup penting buat KL City FC.
"Hubungan saya dengan pemain cukup bagus, barisan kejurulatihan dan pihak pengurusan amat bagus. Jadi, elemen ini adalah satu rahsia kejayaan sesebuah pasukan.
"Apabila kita erat dan boleh berasakan diri sendiri sebagai satu keluarga, ia akan lebih mengeratkan hubungan sesama kita," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram