LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
KEAKRABAN di antara kedua-duanya sudah terjalin lebih dua dekad lamanya untuk Bojan Hodak menghargai rakan senegara, Tomislav Steinbruckner, yang dianggapnya 'sama kepala' bagi mencaturkan perjuangan kelab masing-masing dalam Liga Super musim ini.
Bersahabat dalam menghadapi setiap lawan, namun bermusuh apabila berhadapan sesama sendiri, kekerapan bertukar-tukar nota dianggap Bojan, ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC (KLC FC), sebagai memberikan nilai tambah di sebalik kedua-duanya saling menghormati.
Mengeyakan hubungan istimewa itu. ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomi, menghargai apa saja input daripada rakan senegaranya itu yang dihormatinya sebagai seorang yang lebih senior dalam sepak terajang bola sepak Malaysia.
Bojan (kiri) dan Tomi ketika aksi KL City FC menentang Terengganu FC. — Facebook/ Terengganu FC
Persis filem hebat ‘The French Connection’ yang memenangi lima oskar dalam majlis Anugerah Akademi Ke-44 pada 1972, tidak hairanlah jika kedua-dua Bojan dan Tomi menggelarkan perancangan bersama mereka dalam Liga Super sebagai ‘The Croatian Connection’.
“Saya berasa gembira dengan kehadiran seorang sahabat lama dalam Liga Malaysia,” cerita Bojan kepada Laptop Cabuk, dengan kedua-duanya berhadapan sesama sendiri sebagai pemain buat kali terakhir dalam Liga Singapura pada 1989.
Ketika itu, Bojan beraksi sebagai bek tengah untuk Jurong FC manakala Tomi pula pemain tengah bersama SAFSA, kelab angkatan tentera yang turut diwakili ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, ketika itu.
Penubuhan UPB-My Team, yang diilhamkan oleh ahli politik, Khairy Jamaluddin, menerusi satu rancangan televisyen realiti, lebih dahulu membawa Bojan sebagai jurulatih ke kancah bola sepak Malaysia pada 2006 dan hanya disusuli Tomi yang mengendalikan T-Team pada 2015.
“Ketika sama-sama beraksi dalam Liga Singapura, kebetulan kami tinggal berdekatan dan kerap keluar bersama,” ujarnya.
Tomi tidak gusar dengan pasukannya kerana perjalanan musim masih ada separuh lagi. — Facebook/ Terengganu FC
Ketua jurulatih KLC FC itu tidak berselindung yang dia dan Tomi banyak berborak mengenai bola sepak – “apa lagi yang boleh kami bualkan” – setiap kali berkesempatan bertemu ketika pasukan kendalian masing-masing berhadapan dalam liga.
“Ya, ada kalanya kami berbincang mengenai lawan yang bakal dihadapi, lebih-lebih lagi jika pasukan lawan itu baru dihadapi salah satu antara pasukan kami.
“Tapi itu juga bergantung kepada sama ada pasukan itu baru dihadapi atau tidak. Jika selepas sebulan, apa saja maklumat mengenai pasukan lawan itu mungkin tidak relevan kerana keadaan harus sudah berubah,” katanya.
Contoh paling relevan ialah ketika Johor Darul Takzim (JDT) yang baru menundukkan Terengganu FC dalam aksi Piala Sumbangsih pada 24 Februari lalu, kemudian berkunjung untuk berdepan KLC FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada minggu berikutnya pada 1 Mac.
TFC dan KLC FC berkongsi mata dalam keputusan seri 0-0 di SSMZA pada 5 Mac lalu. — Facebook/ Terengganu FC
Bojan, bagaimanapun, menepis wujud sebarang persepakatan di antaranya dan Tomi ketika TFC dan KLC FC berkongsi mata dalam keputusan seri 0-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Kuala Terengganu pada 5 Mac lalu.
“Dalam perlawanan di antara pasukan kami masing-masing, tiada lagi persahabatan untuk seketika.
“Lagipun, jika anda rujuk kepada rekod, Kuala Lumpur City tidak pernah menang di Kuala Terengganu selama 19 tahun lamanya,” katanya lagi.
Menyokong hujahnya itu, Tomi menekankan di sebalik sudah lama bersahabat, kedua-duanya mengekalkan rasa saling menghormati sebagai jurulatih professional.
“Setiap kali turun ke Kuala Lumpur, Bojan akan sentiasa mengajak saya keluar makan malam bersama.
“Waktu itulah yang kami gunakan untuk berbual panjang mengenai liga yang diselitkan dengan peluang untuk bertukar-tukar maklumat mengenai pasukan lawan.
“Selebihnya, kami hanya sesekali berhubung, itu pun jika ada keperluan,” ujarnya.
Bojan bersama anak buahnya di KL City FC. — Facebook/ KL City FC
KLC FC dan TFC ketika ini dipisahkan dengan dua anak tangga – skuad Warga Kota itu di tangga keenam dengan 15 mata daripada sembilan perlawanan manakala skuad Sang Penyu di tangga kelapan selepas 10 perlawanan hasil perolehan 13 mata.
Sebagai perbandingan, Bojan lebih bertuah kerana pasukannya masih meniti landasan untuk mengekalkan tangga keenam yang menjadi kesudahan buat mereka sepanjang dua musim lalu.
Sebaliknya, Tomi yang mewarisi pasukan bergelar naib juara Liga Super musim lalu, berhadapan tekanan penyokong yang cenderung membuat perbandingan di samping menuntut peningkatan mendadak dalam liga yang berbaki tiga perlawanan dalam pusingan pertama ini dan 13 perlawanan lagi dalam pusingan kedua bermula 7 Jun nanti.
Dengan Sabah FC menjadi lawan terdekat Sang Penyu pada 19 Mei ini, harus tidak salah untuk Tomi menghubungi Bojan bagi mendapatkan satu atau dua petua mengenai skuad Sang Badak itu, yang ditundukkan mereka 2-0 sebelum ini.
Tentunya ia akan menggembirakan kedua-duanya jika KLC FC dan TFC dapat menyudahkan liga musim ini dalam kelompok teratas -- menepati tradisi pasukan cemerlang yang dicipta Croatia dalam kempen Piala Dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram