Mimpi tak pasti, harga 'kayangan' buat 3 pemain dikait Liga Super terpaksa gigit jari


  • Podium
  • Selasa, 09 Mei 2023

Tiga pemain mahal yang dikaitkan dengan Liga M menjelang perpindahan kedua musim ini.

BERBAKI dua bulan lagi, penyokong bola sepak tempatan bakal menyaksikan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) akan berlangsung yang mana ia merupakan satu-satunya alternatif untuk pasukan melakukan rombakan.

Ketika sesi tersebut juga, penyokong akan disajikan dengan kemasukan wajah baharu yang dijangka mampu membantu memperkukuhkan pasukan kesayangan, selain berlaku penyingkiran beberapa pemain lama.

Meskipun jendela perpindahan dijadual diadakan pada Julai nanti namun pelbagai khabar angin sudah mulai bertebaran dan terdapat nama pemain yang disebut-sebut akan mencari kelab baharu menjelang pusingan kedua Liga Super musim 2023.

Lebih mengejutkan apabila terdapat pasukan Liga Super musim ini dikaitkan dengan pemain yang mempunyai tanda harga mahal dan berita tersebut seperti akan berakhir dengan angan-angan kosong.

Menjelang jendela perpindahan kedua, berikut tiga pemain dengan ‘harga kayangan’ yang pernah dikaitkan dengan pasukan Liga Super musim ini;

1) Steven Rodriguez

WhatsApp Image 2023-05-08 at 23.16.17

Rodriguez bernilai RM2.01 juta. — Instagram/Titi

Pemain yang pernah menjadi penyerang berbisa Sri Pahang FC, Steven Rodriguez pernah menjadi antara pemain termahal Liga M pada musim lalu apabila memegang M 'tanda harga' bernilai RM2.01 juta.

Meskipun sudah dipinjamkan ke sebuah kelab Colombia, Alianza Petrol pada musim ini namun penyerang berusia 24 tahun itu masih menjadi idaman beberapa kelab Liga Super seperti Sabah FC dan termasuklah bekas majikannya, skuad Tok Gajah.

Mana tidaknya, tonggak kelahiran Colombia yang tiba secara pinjaman pada pertengahan musim lalu itu tidak menunggu masa lama untuk memberikan impak positif dengan merekodkan sembilan gol dalam hanya 13 penampilan dalam Liga Super.

Namun begitu, dengan nilai harga semakin meningkat, pemain yang menerima Anugerah Kasut Emas bagi kempen Piala Malaysia 2022 itu pastinya agak sukar dibawa semula ke kancah domestik.

2) Michael Olunga

WhatsApp Image 2023-05-08 at 23.15.38

Olunga mempunyai nilai harga RM44 juta. — Instagram/Olunga

Jika pemain di kelab berpangkalan di Qatar, Al-Duhail, Michael Olunga jadi berhijrah ke Liga Super musim ini, dia bakal menjadi pemain termahal dengan nilai harga RM44 juta.

Olunga membantu Al-Duhail yang kini menjadi pendahulu liga dengan 18 jaringan beserta tiga hantaran bantuan menunjukkan pemain itu sangat berpotensi dalam mempertajamkan serangan.

Pemain berusia 29 tahun itu dikaitkan dengan Sri Pahang selepas dia berada di kedudukan pertama dalam senarai penjaring terbanyak dalam liga itu musim ini.

Walaupun kontrak pemain tersebut semakin menghampiri titik nokhtah bersama kelabnya namun dengan tanda harga Olunga, hasrat penyokong hanyalah tinggal mimpi indah sahaja.

3) Jorge Pereyra Diaz

WhatsApp Image 2023-05-08 at 23.16.01

Diaz mempunyai tanda harga sebanyak RM2.32 juta. — Instagram/Diaz

Pemain yang pernah menjadi pemegang status penjaring terbanyak Johor Darul Takzim (JDT) untuk tempoh semusim dengan rekod 18 jaringannya semasa Liga Super 2016, Jorge Pereyra Diaz masih menjadi pemain idaman beberapa Liga Super.

Sabah FC merupakan antara kelab yang sering dikaitkan dengan pemain berusia 32 tahun itu dek kerana ramai penyokong menginginkan penyerang berbisa untuk mencetak jaringan gol.

Kini, Diaz turut beraksi di posisi penyerang dan sayap itu bersama Mumbai City FC yang merupakan kelab di peneraju Liga Super India (ISL).

Diaz kini mempunyai tanda harga sebanyak RM2.32 juta yang mana sangat mahal untuk sebuah kelab Liga M bagi memburu penyerang berkualiti sepertinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram