BARU-BARU ini, dunia bola sepak digemparkan dengan keputusan kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) menggantung penyerang terkenal mereka, Lionel Messi.
Hal itu disebabkan tindakan legenda tersebut yang bercuti bersama keluarganya ke Arab Saudi sehingga menyebabkannya terlepas sesi latihan.
Jadi, dalam usaha memulihkan semula hubungan antara kedua-dua pihak, Messi dalam satu video yang dimuat naik menerusi akaun Instagram peribadinya memohon maaf kepada orang ramai.
"Saya ingin memohon maaf kepada rakan sepasukan dan juga kelab ini. Sejujurnya, saya berfikir bahawa kami sekeluarga akan diberikan cuti memandangkan ada satu perlawanan berlangsung minggu sebelumnya.
"Saya sudah menguruskan percutian ini dan kami sebelum ini pernah membatalkannya, tetapi tidak boleh untuk kali ini," katanya pada Jumaat.
Messi memuat naik video yang mengakui kesilapannya baru-baru ini. — Facebook/Goal.com
Ura-ura sebelum ini mengatakan kapten skuad kebangsaan Argentina tersebut mempunyai hubungan tegang dengan PSG yang menyukarkan perbincangan mengenai lanjutan kontrak.
Dia turut dikhabarkan bakal kembali menyarung jersi pasukan lamanya, Barcelona yang juga tidak menolak kepulangannya pada jendela perpindahan musim panas akan datang.
Meskipun tidak didedahkan kepada umum, sumber dalaman mengatakan Messi akan berdepan penggantungan selama dua minggu, namun juara bertahan Liga Perancis tersebut tidak memberikan sebarang kenyataan lanjut.
PSG yang kini berada di puncak liga mempunyai kelebihan lima mata ke atas Olympique de Marseille yang berada di kedudukan kedua dengan hanya lima perlawanan berbaki.
Ahad lalu, mereka dikejutkan dengan kekalahan kepada pasukan pertengahan liga, Lorient dengan keputusan 1-3 di tempat sendiri yang memberi lebih banyak tekanan buat pihak pengurusan kelab. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram