Percaya atau tidak, ini 4 sebab fans Sabah tertunggu-tunggu penampilan 'Messi Kedah'


  • Podium
  • Sabtu, 15 Apr 2023

Farhan ketika sesi latihan bersama skuad Sabah FC baru-baru ini. — Facebook/SabahFC

SABAH FC kini dilihat sedang bergelut untuk kembali mendapatkan aksi terbaiknya untuk bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

Ia selepas pasukan itu merekodkan dua kekalahan dan satu seri dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super dan menyebabkan pasukan jatuh di tangga kelima di carta liga.

Prestasi dipamerkan itu memperlihatkan bahawa skuad The Rhinos seakan-akan sudah kehilangan momentum untuk bersaing selepas aksi positif hasil lima kemenangan daripada lima perlawanan awal.

Antara yang mendapat kritikan tentunya corak taktikal diterapkan pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee ekoran daripada prestasi tidak menentu ditonjolkan skuad Sang Badak.

Ada antara penyokong menyifatkannya sebagai mudah dibaca oleh pihak lawan sehingga menyukarkan pasukan memperolehi tiga mata penuh.

Sabah 1

Sabah FC merekodkan dua kekalahan dan satu seri dalam tiga perlawanan terakhir Liga Super. — Facebook/SabahFC

Pada masa sama, prestasi tersebut juga memperlihatkan peminat mula memberikan beberapa cadangan bagi penambahbaikan pasukan.

Antara ditimbulkan adalah keperluan untuk memberikan peluang kepada beberapa pemain yang masih belum diberikan peluang beraksi bersama Sabah FC dalam perlawanan musim ini.

Dalam perbincangan tersebut, antara nama yang timbul adalah bekas bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Farhan Roslan.

Berikut Majoriti senaraikan empat sebab mengapa pemain aksi pemain sayap kiri berusia 26 tahun itu ditunggu-tunggu oleh peminat Sabah FC:

1. Keupayaan menggelecek dan melakukan larian deras

Antara ciri utama dalam permainan Farhan adalah keupayaannya untuk menyerang melalui gelecekannya yang mampu menewaskan pihak lawan secara berdepan.

Selain itu, kepantasannya lariannya juga memberikan nilai tambah kepada pemain berketinggian 1.54 meter (m) dalam usahanya memberikan sumbangan kepada pasukan.

Dengan kedua-dua ciri yang dimilikinya itu, tidak mustahil apabila dia diberi jolokan sebagai 'Messi Kedah'.

2. Mempelbagaikan corak permainan pasukan

Sabah 4

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee. — Facebook/SabahFC

Kelajuan dan kelicikan dimiliki Farhan sememangnya boleh menjadi satu aset baik kepada pasukan yang ketika ini memerlukan satu tonik baharu untuk kembali bangkit mencapai prestasi diharapkan.

Kedua-dua ciri itu sememangnya boleh digunakan Kim Swee untuk menerapkan elemen kejutan terhadap corak permainan ditampilkan pasukannya.

Kepantasan dimiliki Farhan itu sekiranya digunakan dengan sebaiknya mampu mempelbagaikan corak permainan Sabah FC.

Kim Swee seharusnya menggunakan sepenuhnya pilihan pemain yang dimilikinya di bahagian serangan dalam mempelbagaikan corak permainan ditampilkan oleh pasukan The Rhinos.

3. Uji kedalaman kekuatan bahagian serangan The Rhinos

Sabah 2

Sabah FC tidak boleh terlalu bergantung kepada Saddil Ramdani di bahagian serangan. — Facebook/SabahFootballFC

Sebagai pasukan yang akan beraksi dalam empat kejohanan termasuk Piala AFC, The Rhinos pastinya memerlukan kedalaman skuad lebih jitu.

Ia untuk memastikan pasukan dapat bersaing dengan lebih baik di kesemua bahagian termasuk di bahagian serangan.

Sabah FC tidak boleh terlalu bergantung kepada gandingan barisan serangan sedia yang ada yang digunakan di sepanjang musim.

Farhan merupakan pemain yang sepatutnya menjadi pilihan utama sekiranya pemain sayap kiri utamanya iaitu Saddil Ramdani perlu direhatkan.

4. Berpotensi jadi tonggak utama pasukan

sABAH 3

Farhan ketika beraksi bersama KDA FC sebelum ini.

Sebagai pemain yang masih berada di pertengahan usia 20-an, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu masih mempunyai potensi yang perlu digilap.

Setakat ini, Farhan yang juga Pemain Muda Harapan di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2014 dilihat masih belum sepenuhnya memenuhi potensi diharapkan.

Disebabkan itu, Sabah FC boleh menjadi tempat titik perubahan terhadap kariernya dalam liga bola sepak negara.

Untuk rekod, sepanjag 62 penampilannya di Liga Malaysia, Farhan mencatatkan lapan jaringan dan tujuh bantuan gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram