Tekanan makin dirasai, termasuk coach Perak, ini 3 nama dipetik ganti Devan di NSFC


  • Podium
  • Sabtu, 06 Mei 2023

Devan perlu mengubah situasi semasa Negeri Sembilan FC dengan segera jika mahu kekal berada di kerusi panas kelab itu.

KEDUDUKAN di tangga kesembilan Liga Super sememangnya satu keadaan yang sedikit mengecewakan buat penyokong Negeri Sembilan FC.

Setelah satu musim yang membanggakan pada 2022, skuad Jang hanya mengumpul 10 mata selepas sembilan perlawanan, termasuk tiga kekalahan direkodkan.

Bukan itu sahaja, keputusan memalukan 0-7 di tangan Johor Darul Takzim (JDT) ketika beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan merupakan satu episod gelap buat kelab itu.

Bagi penyokong, mereka memilih untuk menuding jari ke arah ketua jurulatih, K Devan yang dikatakan tidak mempunyai perubahan terhadap gaya permainannya.

Selain itu, ketiadaan pemain yang mempunyai kualiti di posisi masing-masing semamangnya menyukarkan usaha mereka bagi sekurang-kurangnya mendapatkan rentak di atas padang.

Jadi, berdasarkan pemerhatian di media sosial, pelbagai desakan mula dibuat penyokong yang mengharapkan terdapatnya perubahan terhadap pasukan itu.

Antara desakan yang sememangnya kerap dilihat adalah mengenai cadangan untuk menggugurkan Devan dan digantikan dengan seorang jurulatih baharu.

Persoalannya, dengan skuad Jang memiliki campuran pemain berusia dan tidak berpengalaman, adakah ia akan cukup menarik mana-mana jurulatih untuk mengendalikan mereka?

Tambahan pula, Negeri Sembilan FC dikhabarkan tidak mempunyai kekuatan dari segi kewangan, yang mana satu perkara yang cukup sukar untuk menarik seorang pengendali yang berkualiti.

Namun, melihat kepada situasi terkini, terdapat tiga jurulatih yang mempunyai kebolehan untuk sekurang-kurangnya menyuntik perubahan untuk separuh masa kedua musim Liga Super.

1. Yusri Che Lah (Perak FC II)

Musim lalu, Perak FC menggunakan khidmat Yusri Che Lah yang merupakan anak jati Kangar, Perlis bagi mengendalikan pasukan yang berdepan pelbagai masalah di luar padang.

Namun, meskipun hanya menamatkan saingan di tangga kedua tercorot Liga Perdana, kebolehan untuk memberi nafas kepada skuad The Bos Gaurus (TBG) wajar diberikan pujian.

Kini, dengan kehadiran pihak pengurusan baharu kelab Utara itu, Yusri akhirnya digantikan dengan Datuk Lim Teong Kim yang lebih berpotensi.

Bagaimanapun, bagi menghargai jasanya yang pernah terlibat dengan pasukan itu buat beberapa tahun, dia diberi kepercayaan untuk mengendalikan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Perak FC.

340774900_1432492564188788_6654795051401216971_n

Yusri berjaya membuktikan kebolehannya bersama skuad TBG musim lalu. Facebook/Perak FC

Sepanjang berada di bawah bimbingannya, pasukan muda itu berjaya menghasilkan beberapa keputusan memuaskan selepas empat aksi Piala MFL.

Kini, Perak FC II berada di kedudukan kelima Kumpulan B hasil kutipan lima mata, termasuk satu kemenangan ketika bertemu skuad simpanan Kuching City FC.

Jadi, ia membuktikan bahawa Yusri masih memiliki sentuhan untuk sekurang-kurangnya membawa perubahan terhadap Negeri Sembilan FC.

Jurulatih berusia 47 tahun itu pastinya cukup tertarik dalam menerima tawaran berkenaan memandangkan ia bakal menjadi pengalaman pertamanya dalam Liga Super.

Namun, dengan tawaran semestinya lebih tinggi diberikan pihak pentadbiran Perak FC, adakah Yusri bakal tertarik untuk mengendalikan sebuah pasukan yang bergelut itu?

2. B Sathianathan

Sejak pulih daripada penyakit baru-baru ini, bekas pengendali skuad muda negara, B Sathianathan masih belum menerima apa-apa tawaran untuk kembali ke dalam bidang kejurulatihan.

Ia dibuktikan apabila pengendali berusia 64 tahun berkenaan memilih untuk bergelar pengulas bola sepak bersama sebuah stesen televisyen tempatan.

Kali terakhir Sathianathan membimbing sebuah pasukan adalah pada musim lalu apabila dia mengendalikan Sarawak United yang dilanda 1,001 isu di luar padang.

Namun, kesungguhan yang dipamerkan jurulatih kelahiran Perak itu memberi talian hayat terakhir buat skuad Ngap Sayot sebelum dia memilih berehat berikutan isu kesihatan.

17924160-1

Sathianathan seperti sudah bersedia untuk kembali ke bidang kejurulatihan.

Jadi, melihat kepada situasi Negeri Sembilan FC ketika ini, Sathianathan merupakan pilihan terbaik berdasarkan pengalaman luasnya dalam dunia bola sepak tanah air.

Tambahan pula, pengalamannya mengendalikan skuad B-23 negara selama dua tahun meningkatkan lagi tarikan terhadapnya yang mampu mengasah bakat-bakat muda.

Malah, Sathianathan juga pastinya tertarik untuk mengendalikan skuad Jang apabila dia beberapa kali mengendalikan pasukan itu pada awal kariernya.

Tetapi, dengan perkongsian serta bakatnya semakin terserlah dalam memberi ulasan mengenai Liga Super, adakah dia akan tertarik untuk kembali ke bidang kejurulatihan?

3. Wan Jamak Wan Hassan

Seorang yang cukup berpengalaman dalam dunia kejurulatihan pastinya diperlukan untuk mengembalikan skuad Jang ke landasan sebenar berikutan tekanan dari segi kewangan.

Jadi, tidak hairanlah apabila nama Wan Jamak Wan Hassan sekali lagi dipetik penyokong Negeri Sembilan FC yang mahu melihat kelibat pengendali berusia 65 tahun itu.

Meskipun kali terakhir dia mengendalikan sebuah pasukan pada 2014, ia tidak menghalang harapan penyokong untuk sekali lagi melihat kebolehannya dalam bidang kejurulatihan.

Selain itu, dia yang juga pernah mengendalikan Negeri Sembilan FC sememangnya terus dirindui memandangkan dia pernah menghadiahkan mereka dua trofi, iaitu Piala FA 2010 dan Piala Malaysia 2009.

ezgif.com-webp-to-jpg-1

Wan Jamak pernah memberi sentuhan magis buat Negeri Sembilan FC.

Oleh itu, harapan pastinya menggunung untuk melihatnya kembali menggantikan Devan yang semakin diberi tekanan daripada penyokong rentetan daripada keputusan kurang meyakinkan.

Bagaimanapun, pasti terdapat pelbagai kesangsian terhadap kebolehan Wan Jamak untuk membawa kelab berkenaan ke tahap lebih tinggi ketika ini.

Selain sudah terlalu lama meninggalkan bidang kejurulatihan, jurulatih kelahiran Johor itu pastinya sukar untuk membiasakan diri dengan bola sepak alaf baharu.

Tidak cukup dengan itu, dia yang sudah menjangkau usia 65 tahun pasti akan mencetuskan kembimbangan memandangkan mereka mahu melangkah ke hadapan.

Tetapi, jika dia masih terbuka untuk sekurang-kurangnya mahu memberi bantuan dari segi pengurusan, ia merupakan langkah terbaik buat Negeri Sembilan FC yang masih mencari identiti mereka ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram