Bukan saja Njoku, 3 lagi pemain termasuk tonggak Tok Gajah bakal angkat kaki dari kelab masing-masing


  • Podium
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Njoku hanya tampil dalam dua perlawanan Liga Super iaitu ketika aksi Sabah menang 5-2 ke atas Penang FC dan tewas 0-2 di tangan KL City FC. — Facebook/SabahFC

BARU-BARU ini Sabah FC kelihatan sudah mulai membuat langkah awal untuk menambah baik mutu skuad dengan membuat beberapa rombakan menjelang perpindahan kedua bagi pusingan kedua Liga Malaysia (Liga M) nanti.

Pemain pertama yang diumumkan tidak berada dalam perancangan skuad The Rhinos itu ialah penyerang import, Jacob Njoku yang banyak bermain dengan skuad simpanan Sabah di saingan Piala MFL.

Bagi saingan Liga Super pula, penyerang import dari Nigeria itu hanya tampil dalam dua perlawanan iaitu ketika aksi Sabah menang 5-2 ke atas Penang FC dan tewas 0-2 di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC.

"Sabah FC dan Njoku Jacob telah bersetuju untuk berpisah. Kami mengucapkan terima kasih atas sumbangannya kepada pasukan kami dan mendoakan yang terbaik dalam usahanya pada masa hadapan," tulis kenyataan Sabah.

Sementara itu, difahamkan juga terdapat beberapa pemain kelab Liga Super lain musim ini juga dikatakan akan mengikut jejak penyerang berusia 25 tahun itu menjelang perpindahan kedua.

Berdasarkan prestasi semasa, berikut tiga pemain Liga Super yang difahamkan akan angkat kaki daripda kelab daripada masing-masing;

1) Vinicius Leonel (Negeri Sembilan FC)

leonel

Sebelum menyertai NSFC, Vinicius Leonel menyertai Operario VG. — Facebook/NSFC

Jika anda penyokong tegar Negeri Sembilan FC (NSFC) mungkin mengenali pemain bernama Vinicius Leonel Da Silva yang dibawa masuk pada awal Januari musim ini bersama empat lagi tonggak import baharu.

Walaupun berstatus sebagai tonggak import namun peranannya tidak sama seperti pemain lain seperti Casagrande, Mark Herold Goulon dan Levy Clemen Madinda yang sering menjadi nadi utama skuad Jang pada perlawanan Liga Super.

Musim ini pemain berusia 26 tahun itu hanya mengisi slot pemain simpanan skuad Jang bagi saingan Piala MFL dan Vinicius Leonel tidak terlibat dalam sebarang perlawanan Liga Super ataupun Piala FA musim ini.

Meskipun dia berkebolehan untuk beraksi di posisi pemain tengah bertahan dan menyerang namun pengendali K.Devan masih tidak menganggapnya sesuai untuk digunakan dalam saingan liga utama tanah air.

Devan banyak menggunakan khidmat Safuwan Baharuddin untuk posisi tersebut berikutan pengalaman pemain dari Singapura dalam kancah bola sepak tempatan ketika menyarung jersi Selangor FC.

2) Lucas da Silva (Sri Pahang FC)

lucas

Lucas kelihatan masih bergelut untuk menyesuaikan diri bersama Tok Gajah. — Facebook/SriPahang

Pemain yang pernah mencipta nama bersama Penang FC, Lucas Silva pada musim lalu masih belum membuka akaun golnya bersama Sri Pahang FC sejak menyertai pasukan itu pada Januari lalu.

Penyerang import dari Brazil itu meledak 11 gol dalam 15 penampilan bersama Penang musim lalu dan ia menyebabkan penyokong mengalu-alukan kedatangannya sebelum dia disahkan cedera pada awal musim ini.

Lucas sebelum ini tersisih berikutan kecederaan lutut dialami ketika pra-musim sehingga pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad banyak bergantung harap kepada Kpah Sherman untuk mengemudi jentera serangan.

Namun lain pula jadinya, apabila pemain berusia 32 tahun itu masih gagal menemui rentaknya walaupun sudah diturunkan dalam tiga perlawanan Liga Super musim ini.

Justeru itu, sebahagian penyokong menjangkakan bahawa pihak pengurusan akan menamatkan kontrak bekas tonggak Kitchee dan mengharapkan agar bekas penyerang musim lalu, Steven Rodriguez untuk berganding dengan Sherman.

3) Alan Robertson (Kedah Darul Aman FC)

alan roberston

Robertson juga menggalas sebagai ketua pasukan KDA FC B. — Facebook/KDAFC

Meskipun sudah menandatangani kontrak selama setahun bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC, namun jodoh Alan Robertson dengan Sang Kenari dijangka akan terlerai lebih awal.

Pemain pertahanan kelahiran Afrika Selatan itu dibawa masuk pihak pengurusan Hijau Kuning mengisi barisan pertahanan, namun Robertson hanya banyak beraksi bersama skuad Liga Simpanan Kedah.

Bagi memperbanyakkan lagi pilihan pemain, Kedah pastinya mencari seorang yang boleh beraksi bersama skuad utama dan simpanan tetapi berusia 28 tahun itu tidak mampu menembusi sukad utama kendalian Nafuzi Zain.

Jadi, tidak hairanlah jika bekas pemain kelab Liga 1 Thailand, Port FC David Rochela menjadi impian penyokong untuk menggantikan Roberson pada jendela perpindahan kedua nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram