Sasaran 25 mata Perak FC bukan mustahil, LTK sedia terus kerah bakat tempatan


  • Podium
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Teong Kim berkata, tiada jalan pintas untuk pemain-pemain muda di bawah asuhannya meningkat tanpa pengorbanan.

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

MENGIMBAS semula kepayahan yang dilaluinya ketika diterima masuk ke pasukan utama Selangor pada usia 19 tahun, Datuk Lim Teong Kim mahu memimpin melalui teladan untuk Perak FC terus bangkit menyahut cabaran apabila Liga Super kembali bersambung 19 Mei ini.

Dengan menyimpulkan 10 perlawanan setakat ini tidak semuanya suram, ketua jurulatih skuad The Bos Gaurus itu berkata, pengalaman dan pengajaran daripada kesilapan adalah bekalan terbaik buat bakat-bakat tempatan dalam pasukan baru itu menyerlahkan potensi sebenar mereka.

Dianggap pasukan yang paling kurang pergantungan kepada pemain import musim ini – hanya ada empat, iaitu Sunday Afolabi, Luciano Guaycochea, Seo Seon-ung dan Christian Obiozor -- bekas penolong jurulatih skuad bawah 19 tahun Bayern Munich itu tidak melihatnya sebagai kekurangan atau kelemahan yang terlalu ketara.

Pengumuman pengurusan pasukan menjelang jendela perpindahan akan datang, sekalipun, tidak memesongkannya daripada wawasan menjadikan pemain tempatan sebagai tonggak untuk memacu kebangkitan sehingga akhir musim ini.

“Saya menaruh kepercayaan penuh kepada pemain-pemain tempatan dalam pasukan. Saya mahu sediakan platform untuk bakat tempatan menunjukkan keupayaan dengan bimbingan kejurulatihan yang betul.

“Dengan sebegitu ramai pemain tempatan sekalipun, saya tidak berasa rendah diri dibandingkan dengan pasukan-pasukan lawan dalam Liga Super,” katanya kepada Laptop Cabuk sambil menyorot kepada hanya seorang pemain import yang dibawanya ke Kota Bharu ketika mengalahkan Kelantan FC 3-2 pada 28 April lalu.

Ahad lalu, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, dalam satu kenyataan berkata pihaknya berpuas hati dengan prestasi pasukan dan akan berusaha untuk membuat satu atau dua pertukaran ketika jendela perpindahan akan datang.

“Kami juga mahu memastikan sasaran 25 mata agar Perak FC boleh berada di pertengahan carta kedudukan Liga Super 2023," katanya.

LTK

Reaksi Teong Kim ketika mengendalikan Perak FC menentang TRW Kelantan FC baru-baru ini.

Berada di tangga ke-11 dengan sembilan mata, Perak FC yang menampilkan pasukan baharu musim ini merekodkan keputusan berikut: Kedah FC 1-4, PDRM FC 0-0, Kelantan United 0-0, Kuching City 2-0, Sri Pahang 0-3, Penang FC 1-3, JDT 0-5, KL City FC 0-1, Negeri Sembilan FC 1-1 dan Kelantan FC 3-2.

Sasaran 25 mata itu bermakna skuad Seladang itu perlu mengusahakan 16 mata lagi daripada baki tiga perlawanan dalam pusingan pertama dan 13 perlawanan dalam pusingan kedua yang keseluruhannya menawarkan maksimum 48 mata untuk direbut.

“Mengenai rombakan pasukan, saya serahkan kepda pengurusan. Apabila tiba masanya untuk kelab buat keputusan, saya percaya kami akan sama-sama duduk berbincang.

“Sasaran 25 mata itu pula adalah matlamat kami sebelum musim bermula lagi. Tiada yang mustahil sebenarnya, cuma kami perlu melipat-gandakan usaha untuk menggapainya,” katanya.

Pemain-pemain Perak meraikan jaringan gol oleh rakan sepasukan.

Teong Kim mengulangi bahawa tiada jalan pintas untuk pemain-pemain muda di bawah asuhannya meningkat melainkan perlu melalui segala jerih-perih, menimba pengajaran daripada kesilapan dan menambah pengalaman dari semasa ke semasa.

“Saya telah melalui semua itu ketika bermula sebagai pemain muda bersama skuad utama Selangor (sekitar 1982). Ia tidak mudah dan saya dapat berasakan apa yang dilalui Perak FC sebagai sebuah pasukan baru.

“Kami bina pasukan dengan bakat tempatan dan jadikan Liga Super ini sebagai platform untuk mereka menyerlah.

“Saya tidak ragu-ragu untuk terus memberikan tempat kepada pemain tempatan selain satu atau dua pemain asing untuk mengimbangi pasukan. Saingan tertinggi liga adalah motivasi terbaik untuk pemain tempatan membuktikan keuapayaan.

“Peranan saya ialah menggilap supaya mereka percaya kepada kemampuan diri sendiri, mengerah keupayaan terbaik mereka agar lambat-laun mereka dapat beraksi mengikut kekuatan sebenar,” tambahnya.

Perak FC 2

Kesebelasan utama Perak FC ketika menewaskan Kelantan di tempat lawan.

Teong Kim, yang sebelum ini menolak tanggapan Liga Super tidak sesuai dijadikan medan pendedahan pemain muda, sebaliknya percaya pasukannya akan beransur-ansur membuktikan mitos itu tidak lagi relevan.

“Perak FC sebuah pasukan baharu. Sudah tentu ia mengambil masa untuk pemain-pemain menyesuaikan diri.

“Namun, daripada segi semangat, kami tiada isu kerana pemain-pemain muda ini sudah beransur-ansur menunjukkan kemajuan,” ujarnya.

Menurut jurulatih itu, penekanannya kini ialah kepada kefahaman taktikal individu yang dilihatnya dapat diserapkan mereka.

“Cuma, mereka masih membuat kesilapan tapi apa yang penting mereka belajar daripadanya. Pada saya, ia bukan pun satu isu jika mereka buat kesilapan di peringkat awal ini.

“Lebih penting bagi saya, pemain-pemain tempatan ini telah menunjukkan karekter dan mentaliti yang hebat.

“Walaupun pasukan terjejas oleh kritikan yang tidak berhenti-henti, pemain-pemain saya tidak mudah berputus-asa.

“Dalam aspek tertentu, saya boleh katakan mereka lebih baik daripada pemain-pemain asing,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram