Macam merajuk bawa diri, import sendu Perak FC dedikasi ucapan khas buat YCL


  • Podium
  • Jumaat, 05 Mei 2023

Obiozor (tiga kanan) masih gagal mencetak nama sebagai penjaring buat Perak FC setakat ini. — Facebook/ Perak FC

PERAK FC memperoleh keputusan yang baik dalam dua perlawanan terakhir ketika menentang Negeri Sembilan FC dengan keputusan seri 1-1 dan Kelantan FC (menang 3-2).

Di sebalik perkembangan positif The Bos Gaurus (TBG), tumpuan sebahagian penyokong yang mengikuti rapat pasukan itu terarah kepada salah seorang importnya.

Penyerang import itu, Christian Obiozor yang menjadi sandaran utama pasukan sejak liga bermula tiba-tiba tersisih daripada pasukan dalam perlawanan menentang Kelantan FC.

Meskipun membuat lapan penampilan dengan empat dari kesebelasan utama dan empat lagi dari bangku simpanan, Obiozor gagal memikat hati penyokong kerana gagal mencetak sebarang gol buat skuad Sang Seladang.

340620753_132559246344151_1158636915109167835_n

Penampilan terakhir Obiozor ketika menggantikan Hadi Fayyadh dalam aksi menentang Negeri Sembilan FC — Facebook/ Perak FC

Peledak berusia 28 tahun dari Emene, Nigeria itu hanya merekodkan satu bantuan gol ketika aksi menentang Kuching City FC yang menyaksikan Perak FC menang 2-0 hasil jaringan peledak Korea Selatan, Seo Seonung.

Rekod Obiozor begitu hambar jika dibandingkan prestasi Seo Seonung sebagai pemain sayap, namun sudah meledak tiga gol buat Perak FC termasuk dalam aksi ketika menentang Penang FC.

Dengan ketiadaan Obiozor ketika sesi latihan skuad senior, ramai penyokong tertanya-tanya dimanakah kelibat pemain tersebut.

Di Instagram, Obiozor memuat naik satu hantaran status yang memberikan bayangan dirinya seolah-olah sedang menempuh satu fasa sukar dalam hidupnya.

"Kadang-kadang anda perlukan seseorang untuk bantu anda bangkit semula... dan tunjukkan bahawa anda bermakna dan lebih baik daripada kesilapan yang pernah dilakukan," katanya.

WhatsApp Image 2023-05-05 at 12.54.11

Tangkap layar status Obiozor. — Instagram @_obiozor99

Obiozor mendedikasikan ucapan itu kepada jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Perak FC, Yusri Che Lah, yang dipercayai membantunya dalam kerjaya bola sepaknya di Perak FC.

Status Obiozor itu mencetuskan teka-teki dalam kalangan penyokong Perak FC, namun ramai beranggapan dia memang perlu memperkemaskan lagi persembahan di jentera serangan bagi membantu Perak FC.

Setakat ini, ketumpulan Obiozor dirasakan tidak dapat menyaingi kehebatan awang import kelab lain, menyebabkan pasukannya gagal menempatkan diri dalam kelompok terbaik liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram