eMFL semarakkan Liga M, tawar RM10,000 bagi sang juara


  • eSports
  • Sabtu, 06 Mei 2023

Sebanyak 19 pasukan menyertai peringkat kelayakkan eMFL dan lapan peserta sahaja terpilih untuk ke pusingan kedua.

SERING kali kita melihat banyak negara-negara luar sudah mula mempunyai liga bola sepak elektronik mereka tersendiri, namun adakah anda tahu bahawa Malaysian Football League (MFL) juga mempunyai liga bola sepak elektronik yang dipanggil eMFL?

eMFL sudah memasuki tahun keempat sejak diperkenalkan pada 2020 sehingga 2023, eMFL yang menjalin kerjasama dengan Gamesbond International, menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM10,000.

Kejohanan ini sekali lagi kembali memeriahkan suasana bola sepak Malaysia dengan penyertaan 19 pasukan di pusingan Pre Qualifier eMFL Liga Super 2023.

Daripada 19 pasukan hanya lapan peserta berjaya melayakkan diri ke pusingan Grand Final iaitu Johor Darul Takzim (JDT), PDRM FC, Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Negeri Sembilan FC (NSFC), JDT II, Sabah FC, Kuala Lumpur City FC dan NSFC II.

Pengasas Gamesbond, Suki Lee berkata, format pertandingan eMFL musim ini agak berbeza dengan edisi terdahulu malah pihak penganjur turut memperkenalkan peraturan baharu buat semua peserta.

"Saingan pada musim ini menggunakan format yang berbeza apabila pusingan swiss dimainkan terlebih dahulu di pusingan pra kelayakan bagi mencari lapan pasukan terbaik yang akan bermain dalam pusingan akhir.

"Syarat utama kepada setiap pasukan adalah pasukan wajib untuk menghantar tiga wakil dan kesemua pemain wajib untuk mempunyai competitive mode," katanya kepada Majoriti.

Format Perlawanan

Format perlawanan eMFL musim ini.

Apabila ditanya mengenai tahap kompetitif eMFL musim ini selepas ketiadaan nama-nama besar seperti Selangor, Terengganu dan hanya lapan pasukan yang kekal bersaing, Suki Lee berkata, musim ini persaingan akan lebih hebat kerana baki peserta yang tinggal sudah membuktikan sesuatu dalam pusingan kelayakkan.

"Lapan pasukan ini telah membuktikan bahawa mereka sememangnya layak untuk berada di pusingan akhir sebagai contoh JDT apabila mereka berjaya mencatat empat kemenangan daripada enam perlawanan.

"Ketiadaan pasukan Selangor atau Terengganu tidak dapat dielakkan oleh kerana di peringkat kompetitif seperti ini, pasukan mana-mana pun boleh menjuarai saingan," jelasnya.

Hanya lapan pasukan teratas berjaya mara ke pusingan kedua eMFL.

Tambahnya lagi, juara eMFL musim ini ditawarkan slot untuk bersaing dalam FIFA Global Series Asia South dan wang tunai sebanyak RM10,000.

"Hadiah terkumpul adalah sebanyak RM10,000.00 akan tetapi apa yang lebih bernilai adalah dua slot untuk bersaing di FIFA Global Series Asia South Play Ins.

"Gamesbond berharap agar semua peminat-peminat permainan video FIFA untuk terus memberikan sokongan agar dapat memartabatkan lagi sukan elektronik lebih lebih lagi untuk permainan video FIFA," katanya.

Pusingan Grand Final akan berlangsung pada 16-17 Mei 2023 dan peminat boleh saksikan perlawanan pusingan akhir secara langsung di Facebook Gamesbond, MFL dan TikTok Gamesbond bermula pukul 8 malam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram