"SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tidak menjejaskan prestasi pasukan JDT|GBX."
Itulah laungan semangat yang diberikan oleh Pengarah Urusan GBX, Muhammad Fazli Razak, apabila ditanya mengenai persiapan pasukannya untuk bertanding dalam FIFA Global Series.
Kejohanan FIFA Global Series (FGS) 2023 akhirnya kembali lagi dan semestinya seluruh pasukan eSukan FIFA memulakan cabaran baharu pada tahun ini.
Pasukan-pasukan eSports yang menyertai acara FIFA di peringkat antarabangsa mahupun tempatan pasti sudah bersedia dengan kejohanan tersebut.
Begitu juga JDT|GBX Esports yang mahu mengharumkan nama negara dengan mencipta sejarah menjadi pasukan pertama dari Malaysia yang memenangi kejohanan itu.
Pemain-pemain JDT|GBX.
Menurut Fazli, pihak pengurusan memberi ruang kepada pemain-pemain untuk menyambut sambutan Hari Raya Aidilfitri kerana telah menjalani latihan sepanjang bulan puasa.
"Sepanjang bulan Ramadan kami mengadakan latihan setiap malam selain Selasa, Jumaat dan Sabtu.
"Tetapi menjelang Hari Raya Aidilfitri ini, kami menghentikan latihan untuk memberi peluang kepada semua pemain bagi menyambut bersama orang tersayang," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, pihak pengurusan JDT|GBX merasakan pemain sudah bersedia menghadapi FIFA Global Series meskipun tidak menjalani sebarang latihan semasa perayaan.
"Disebabkan program latihan yang sudah dijalankan sebelum hari raya, saya berpendapat kami sudah bersedia untuk kejohanan FGS keempat yang akan berlangsung pada 29 dan 30 April.
"Bagaimanapun, pemain semua sedar yang masih ada ruang untuk persiapkan diri dan sentiasa berjaga-jaga dengan cara permainan pihak lawan.
"Walaupun kami tidak mengadakan latihan semasa hari raya, pemain diingatkan agar teruskan latihan di masa lapang dengan mengajak pemain lain untuk perlawanan persahabatan.
"Latihan kendiri ini penting supaya mereka dapat mengekalkan cara permainan masing-masing," jelasnya.
Sebelum ini pemain-pemain JDT|GBX melayakkan diri ke pusingan seterusnya dalam FGS 2023. — Facebook/JDT|GBX
Fazli berkata, cabaran utama yang akan dihadapi pasukan JDT|GBX adalah untuk mengekalkan prestasi pemain dan besar harapan mereka untuk melihat salah seorang individu memenangi kejuaraan tersebut.
"Harapan saya agar salah satu pemain kami dapat memenangi FGS yang keempat ini kerana di FGS yang lepas ada antara kami yang berjaya ke final tetapi terpaksa akur dengan pihak lawan.
"Secara kesuluruhan, saya berharap semua pemain JDT|GBX dapat melayakkan diri ke ranking 12 terbaik supaya mereka boleh layak ke peringkat seterusnya.
"Cabaran utama yang kami akan hadapi ialah untuk memastikan setiap pemain boleh mengekalkan prestasi di tahap tertinggi.
"Ia kerana pada hari pertama mereka perlu bermain sebanyak tujuh perlawanan di dalam satu hari," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram