JDT|GBX Esports harumkan nama Malaysia, layak pusingan playoff FIFAe Club Series 2023


  • eSports
  • Sabtu, 25 Feb 2023

JDT|GBX Esports berjaya melayakkan diri ke pusingan playoff bagi Kejohanan FIFAe Club Series 2023. — Facebook/GBX

SEJARAH tercipta pada Jumaat apabila pasukan dari Malaysia, JDT|GBX Esports menjadi pasukan pertama layak ke kejohanan FIFAe Club Series 2023.

Pasukan JDT|GBX Esports berjaya melayakkan diri ke pusingan playoff bagi Kejohanan FIFAe Club Series 2023 selepas berjaya menjuarai pusingan kelayakan bagi Zon Asia apabila menumpaskan wakil daripada Jepun, Kashima Antlers dengan jaringan masa penuh 5-2.

Tahun ini JDT|GBX dianggotai Ahmad Akmal Abdul Rafil (AkmalJHD), Muhammad Faiq Iskandar (Halowake) dan Muzaffar Zuhair (Chamack).

Lebih manis lagi, pasukan JDT|GBX Esports merupakan pasukan pertama dari Malaysia yang berjaya melayakkan diri ke pusingan playoff untuk tiga tahun berturut-turut.

Pasukan JDT|GBX Esports juga melakarkan keputusan yang cemerlang apabila menjuarai pusingan kelayakan tanpa merekodkan sebarang kekalahan.

Menurut Pengurus Pasukan JDT|GBX, Aris Danial, 24, dia bangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh pasukannya.

“Alhamdulillah pertama sekali, saya bersyukur kerana pasukan JDT|GBX Esports telah berjaya layak ke pusingan playoff sebanyak 3 musim berturut-turut.

"Ini merupakan satu pencapaian yang terbaik selaku pasukan terbaik di Malaysia, saya berharap agar dapat layak sekali lagi ke pentas akhir saingan FIFAe Club World Cup 2023," katanya pada Majoriti.

333053791_751402256585734_3398527811821892947_n

JDT|GBX Esports berjaya menjuarai pusingan kelayakan bagi Zon Asia apabila menumpaskan wakil daripada Jepun, Kashima Antlers. — Facebook/GBX

Sebelum ini pasukan JDT|GBX Esports berjaya mengangkat nama Malaysia apabila ditempatkan dalam ranking 14 pasukan Esports terbaik di dunia.

Bagi musim ini, JDT|GBX Esports mensasarkan untuk berada di dalam kedudukan 10 terbaik di dunia.

JDT juga merupakan satu-satunya kelab bola sepak dari Liga Super Malaysia yang menyertai kejohanan antarabangsa iaitu FIFAe Club Series 2023 dan eFootball International Cup menerusi JDT|GBX Esports.

Bukan sahaja berjaya menempatkan diri di antara kelompok 20 pasukan esports terbaik dunia, JDT|GBX Esports juga turut memegang takhta pasukan terbaik di rantau Asia.

JDT|GBX merupakan pasukan Esports yang bekerjasama dengan kelab bola sepak tersohor Malaysia, Johor Darul Takzim (JDT). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram