PERAK FC akhirnya dapat menarik sedikit nafas lega apabila mencatatkan kemenangan kedua musim ini ketika berdepan Kelantan FC di laman lawan pada 28 April lalu.
Meskipun ia tidak menyaksikan apa-apa perubahan terhadap kedudukan mereka dalam carta Liga Super, ia sedikit sebanyak merapatkan jurang antara mereka dengan pasukan lebih atas.
Kini, dengan sembilan mata sudah dikumpul, skuad The Bos Gaurus (TBG) berada di tangga ke-11 dengan hanya satu mata dibezakan dengan PDRM FC.
Bagaimanapun, mereka berdepan cabaran getir selepas ini apabila pasukan Utara tanah air itu bakal menerima kunjungan gergasi bola sepak tanah air, Selangor FC.
Umum mengetahui bahawa kedua-dua pasukan mempunyai sejarah yang cukup menarik tatkala mereka pernah bersaing untuk meraih lebih banyak kejuaraan.
Bukan itu sahaja, pertemuan antara Selangor FC dan Perak FC juga lebih dikenali sebagai 'El Clasico Malaya' yang mana membuktikan kehangatan suasana sekiranya mereka berentap.
Pertemuan antara Perak dan Selangor sering menghidangkan aksi yang cukup berbeza.
Namun, dengan jurang yang cukup besar di antara kelab itu ketika ini, kegusaran mula timbul mengenai sambutan orang ramai terhadap perlawanan pada 20 Mei itu.
Penyingkiran skuad TBG ke kancah Liga Perdana pada 2021 sedikit sebanyak menghilangkan aura pertembungan itu, termasuk dalam kalangan penyokong kedua-dua kelab itu.
Namun, bagi legenda Perak, V Saravanan, harapan menggunung diletakkan terhadap pengikut setia pasukan yang boleh dianggap sebagai pemain ke-12.
"Yang penting adalah penyokong ke Stadium Perak, suasana dia akan berlainan. Kerana kita nak penyokong kita datang kerana mereka adalah satu suntikan berbeza.
Ya, saya boleh beri semangat dan motivasi, tapi kalau stadium kosong, tak syok juga. Jadi, saya harap penyokong datang ramai dan sebelum ini, kita menang dengan Kelantan dan momentum kemenangan ini harap dapat diteruskan walaupun kita tahu Selangor lebih kuat berbanding Perak," katanya kepada Majoriti.
Saravanan yang pernah beraksi bersama skuad Seladang sebanyak dua kali, iaitu dari 1998 hingga 2000 dan dari 2002 hingga 2004 pasti cukup sinonim dengan perlawanan itu.
Penyokong skuad TBG pasti diharapkan untuk memenuhi stadium sendiri dalam perlawanan itu. — Facebook/Perak FC
Tambahan pula, dia yang kini berkhidmat sebagai pembantu jurulatih Perak FC kepada Datuk Lim Teong Kim pasti terus berasakan kehangatan aksi berkenaan.
Dalam masa sama, Saravanan yang sudah mencecah usia 45 tahun itu juga tidak menolak pandangan orang ramai mengenai mutu perlawanan setiap kali Perak FC dan Selangor FC bertemu.
"Biasa orang cakap kita ni derby dengan Selangor, musuh tradisi. Kita ada banyak kenangan manis dan kami ibarat buku dan ruas.
"Keputusan ketika itu selalunya berpihak kepada kita dengan Selangor FA ketika itu mempunyai sejarah. Tetapi, setiap kali aksi lawan Selangor ni, kita main ibarat final untuk setiap game, meskipun di Ipoh atau Shah Alam," ulasnya lagi.
Sepanjang tahun-tahunnya bersama Perak FA, Saravanan pernah meraih pelbagai momen manis, termasuk menjuarai Piala Malaysia 2000.
Usai menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak, anak jati Ipoh, Perak tersebut memilih untuk menceburi bidang kejurulatihan apabila dia berkelana ke Finland untuk bergelar pengendali skuad remaja HJK Helsinki.
Kini, pemain yang pernah menerima gelaran 'The Flying Silverman' itu sudah kembali berkhidmat bersama Teong Kim bersama seorang lagi legenda Perak, Raja Azlan Shah Raja So'ib. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram