Gate H Boys respons larangan Kelantan FC, letak satu tuntutan baki musim 2023


  • Podium
  • Jumaat, 05 Mei 2023

GATE H Boys tetap akan turun beri sokongan kepada pasukan sama ada perlawanan di tempat lawan atau di tempat sendiri. — Facebook/ Kelantan FC

BARU-BARU INI, kecoh dalam kalangan penyokong Kelantan FC apabila pihak pengurusan melarang pemain ke-12 mereka membawa gendang, kain rentang dan juga sepanduk ke dalam Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.

Bagaimanapun, pihak pengurusan skuad The Red Warriors (TRW) segera tampil membuat insiatif untuk mengadakan satu sesi perjumpaan dengan penyokong bagi menjernihkan keadaan.

Mengulas mengenai pertemuan itu, wakil Gate H Boys berkata, pengurusan memberikan penjelasan mengapa larangan itu dibuat.

"Pihak pengurusan maklumkan serta beri penjelasan kepada wakil penyokong bahawa ia perlu dibuat atas faktor keselamatan.

"Sebab game sebelum ni ada sepanduk yang tak diingini, jadi kami akur bila kami tak boleh bawa dram, sepanduk, kain rentang dan lain-lain," katanya kepada Majoriti.

2051787

Gate H Boys berpakaian serba hitam sebagai tanda protes kepada larangan tersebut. — Facebook/Gate H Boys

Mengulas lebih lanjut, wakil Gate H Boys memberitahu bahawa larangan tersebut juga ada kaitan ketika saingan Liga Perdana antara Kelantan dan Perak FC pada 2022 yang menyaksikan berlaku pergaduhan antara penyokong.

"Kalau ingat ketika perlawanan tahun lepas semasa menentang Perak FC kan ada isu (penyokong bergaduh kerana provokasi melampau), jadi pihak sekuriti bimbang dengan isu keselamatan.

"Itu sebab ada larangan bawa gendang, sepanduk semua tapi ia untuk game lawan Perak sahaja dan game seterusnya tiada apa-apa sekatan (barangan) ke stadium," jelasnya.

Berkenaan larangan tidak boleh jumpa pemain, Gate H Boys berkata, ia ada kena mengena dengan prestasi semasa Kelantan FC yang tidak begitu baik.

"Pegawai sekuriti kelab ada jelaskan sebab apa pemain tak boleh pergi dekat dengan fans kerana ia ada kena mengena dengan situasi (prestasi) sekarang.

"Takut in case ada penyokong tak puas hati dengan pemain...nak pukul ke, apa ke...jadi mereka nak redakan situasi.

"Bahkan untuk perlawanan seterusnya, kami tetap akan turun beri sokongan sama ada perlawanan di tempat lawan atau di tempat sendiri...tak boikot pun perlawanan," katanya.

342842746_913683353193903_7748621526604116352_n

Kelantan FC akan berkunjung ke Stadium Darul Aman, Kedah untuk menghadapi saingan liga pada 19 Mei depan. — Facebook/ Kelantan FC

Berhubung sokongan kepada pasukan, Gate H Boys menuntut satu peningkatan positif dalam permainan.

"Kita harap perlawanan seterusnya, kita dapat keputusan positif untuk kembalikan keyakinan penyokong TRW untuk ke stadium.

"Kami faham kalau kalah tapi sekurang-kurangnya bermain dengan baik dan ada peningkatan dalam permainan.

"Kita tak nak bolos banyak...benda tu yang buat penyokong marah tapi kalau ada perkembangan positif tu sudah cukup, kalau menang lebih bagus," katanya.

Kelantan FC akan berkunjung ke Stadium Darul Aman, Kedah untuk menghadapi saingan liga pada 19 Mei depan.

Skuad TRW kini menduduki kelompok tercorot di kedudukan kedua terakhir Liga Super dengan keseluruhan empat mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram