Bintang import Kelantan antara 3 calon dipetik fans Sabah gantikan Jacob Njoku


  • Podium
  • Khamis, 04 Mei 2023

Miguel Cifuentes turut disebut calon sesuai bagi menggantikan Jacob Njoku. — Agensi

MENJELANG jendela perpindahan kedua pada Jun nanti, pasukan-pasukan Liga Super dilihat sudah mula mengorak langkah untuk menambahbaik skuad mereka bagi meneruskan saingan liga.

Sabah FC pada Rabu mengambil keputusan untuk melepaskan khidmat bekas penyerang Kelantan United, Jacob Njoku yang ditandatangani pihak pengurusan awal musim lalu.

Keputusan menamatkan kontrak secara bersama dibuat bukan saja membolehkan Njoku meneruskan kariernya dengan pasukan lain.

Malah, ini membantu skuad Badak mengenal pasti penyerang baharu bagi memantapkan jentera serangan mereka.

Ini kerana penyerang kebangsaan, Darren Lok dilihat masih lagi bergelut untuk memperbaiki mutu serangan skuad Sang Badak yang dialami sejak musim lalu.

Darren Lok

Darren Lok menyertai Sabah awal musim ini. — Facebook/Sabah FC

Salah seorang penyokong Sabah, Bola Bayu berkata, jendela perpindahan sangat penting untuk skuad Datuk Ong Kim Swee mencari pemain yang boleh membantu pemain seperti Darren Lok di bahagian serangan.

"Jendela perpindahan semakin hampir beberapa pasukan sudah bersedia membuat beberapa rombakan, Sabah FC agak 'struggle' di barisan hadapan menagih sentuhan Darren Lok yang terbatas untuk menjaringkan gol,apabila gerakannya mudah dibaca pertahanan lawan.

"Melihat jaringan pasukan dihasilkan oleh pemain tengah dan pertahanan, Sabah FC memerlukan seorang pemain yang dapat membantu Darren Lok di posisi serangan," katanya.

Hazwan Bakri

Hazwan Bakri antara pemain yang disebut boleh membantu Sabah FC. — Facebook/JDT

Tambahnya lagi, dia turut meluahkan kerisauan apabila 'squad depth' yang dimiliki Sabah tidak besar untuk memberi ruang Ong Kim Swee melakukan penggiliran pemain.

"Perlawanan terakhir di antara pasukan Selangor melihatkan beberapa pemain utama terpaksa direhatkan disebabkan kecederaan termasuk ketua pasukan Park Tae-su dan beberapa pemain pertahanan Sabah FC seperti Rizal Ghazali dan Irfan Zakaria yang masih belum cergas sepenuhnya.

"Pastinya pusingan kedua perlawanan akan lebih menarik lagi sebaik sahaja jendela perpindahan pemain akan dibuka," jelasnya.

Dalam pada itu, Bola Bayu sempat memuat naik gambar pemain import Kelantan, Miguel Cifuentes dan dua pemain tempatan Hazwan Bakri serta bekas pemain Penang FC, Khairu Azrin sebagai cadangan buat pihak pengurusan Sabah bawa masuk individu berkenaan menjelang jendela perpindahan kedua.

Sepanjang 10 perlawanan Liga Super anak-anak buah Ong Kim Swee berjaya menjaringkan 24 gol serta bolos 14 jaringan dan menduduki tangga keempat dalam liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram