Disamakan Keita Mandjou, fans Perak tagih khidmat penyerang Liberia Julai depan


  • Podium
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Keita Mandjou menjadi watak penting ketika tiga tahunnya bersama Perak FA. — Facebook/Perak FA

PERAK FC muncul sebagai salah sebuah pasukan dengan jentera serangan paling tumpul musim ini selepas hanya menjaringkan lima gol dalam lapan perlawanan Liga Super.

Kehadiran dua penyerang ketika jendela perpindahan lalu, iaitu Christian Obiozor dan Hadi Fayyadh Abdul Razak masih belum menunjukkan taring masing-masing.

Situasi itu diburukkan lagi apabila skuad The Bos Gaurus (TBG) kehilangan khidmat pemain kelahiran Korea Selatan, Seo Seonnung yang dilanda kecederaan.

Hal itu pastinya menjatuhkan lagi kedudukan mereka dalam carta Liga Super dengan pasukan Utara tanah air itu berada di kedudukan ke-11.

Makan itu, dengan jendela perpindahan kedua difahamkan akan dibuka pada Julai, pihak pengurusan Perak FC mempunyai masa yang cukup untuk melakukan perancangan.

Namun, bagi peminat setia kelab itu, mereka sudah meletakkan sasaran tersendiri apabila sesetengah daripada mereka sepertinya mendahagakan khidmat penyerang Kuching City FC, Abu Kamara.

342499609_977302463690074_7502509603204832584_n

Adakah Kamara merupakan solusi terbaik buat isu ketumpulan jentera serangan Perak FC musim ini? Facebook/Kuching City FC

Pemain berusia 26 tahun itu sedikit bergelut musim ini selepas hanya memperolehi tiga gol dalam 10 penampilan, termasuk ketika mereka mencatatkan kemenangan tunggal ke atas Kelantan FC awal musim lalu.

Reputasinya dalam Liga Malaysia tidaklah terlalu menggusarkan memandangkan dia pernah meraih anugerah Kasut Emas Liga Perdana 2022 bersama skuad The Cats.

Jadi, dengan Perak FC juga masih bergelut, tidak hairanlah apabila mereka mahu Kamara menggantikan Obiozor yang masih belum meraih gol liga setakat ini.

Bagi Cek Zu, statistiknya tidak begitu membanggakan musim ini berikutan masalah ketumpulan barisan tengah Kuching City FC yang sukar melorongkan bola buatnya.

"Abu Kamara ini bagus, kelajuan dan penyudahnya cukup bagus. Cuma pemain-pemain tengah sukar untuk memberi umpanan yang lebih baik," katanya.

Lebih menarik lagi, seorang penyokong lain, Yahya Arif Meor Othman berkata, pemain antarabangsa Liberia itu seakan-akan jelmaan legenda kelab, Keita Mandjou.

336314938_1417175185752106_3199498399470509829_n

Obiozor terus bergelut untuk mendapatkan gol pertamanya dalam Liga Super. Facebook/Perak FC

"Melihat kepada corak permainan, gerakan serta lenggok badan, Abu Kamara ni mengingatkan saya kepada bekas pemain Perak iaitu Keita Mandjou," katanya.

Pendapat itu turut dipersetujui seorang lagi pengikut setia Perak FC, Mnpon Mamutara yang turut mengatakan riak wajah Kamara tidak tumpah seperti bekas penyerang skuad Seladang berkenaan.

"Ya, betul juga. Ada iras-iras seperti Mandjou, boleh risik untuk dibawa ke sini," katanya ringkas.

Keita Mandjou pernah menjadi antara penyerang import terbaik Liga Malaysia selepas dia hadir pada 2004 dan terus digandingkan bersama seorang pemain tempatan, Mohamad Khalid Jamlus.

Pada 75 penampilannya untuk kesemua pertandingan, pemain kelahiran Guinea itu mempamerkan sentuhan berbisanya di hadapan pintu gol lawan dengan 50 jaringan dicatatkan.

Sumbangannya itu menyaksikan Perak menjulang trofi Piala FA 2004 di samping dia turut meraih beberapa anugerah individu termasuk Kasut Emas 2006. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram