Geram kemarau depan pintu gol, fans Perak ada cadangan unik buat Obiozor


  • Podium
  • Ahad, 09 Apr 2023

Kebuntuan Perak FC untuk mendapatkan jumlah gol diperlukan itu dilihat berpunca daripada ketumpulan barisan penyerangnya. — Facebook/PerakFC

SELEPAS mengharungi tujuh perlawanan Liga Super 2023, Perak FC kini hanya sekadar berjaya mencatatkan empat jaringan.

Rekod tersebut memberikan gambaran bahawa skuad Seladang kini sedang menghadapi krisis terutamanya di bahagian serangan.

Ini kerana dengan jumlah tersebut, ia meletakkan The Bos Gaurus sebagai pasukan dengan jaringan paling sedikit, berkongsi kedudukan bersama Kuching City FC yang juga hanya merekodkan empat jaringan.

Secara logiknya, situasi ketandusan gol dihadapi ketika ini tidak seharusnya berlaku bagi pasukan seperti Perak FC.

Ini kerana pada musim ini, The Bos Gaurus merupakan antara pasukan konsisten mengamalkan corak permainan terbuka dan positif dan ia didapati membantu skuad Seladang mencipta peluang jaringan sepanjang tempoh permainan.

Pendekatan tersebut digunakan dalam kesemua perlawanan tidak kira lawan yang menanti termasuk ketika bertemu pendahulu liga Johor Darul Takzim (JDT) baru-baru ini.

OBIOZOR

Seonung merupakan satu-satunya penyerang Perak FC yang menyumbang gol hasil tiga daripada tiga jaringan yang direkodkan daripada tujuh perlawanan diharungi. — Facebook/PerakFC

Disebabkan itu, kebuntuan skuad kendalian Datuk Lim Teong Kim untuk mendapatkan jumlah gol diperlukan itu dilihat berpunca daripada ketumpulan barisan penyerangnya.

Setakat ini, hanya penyerang dari Korea Selatan, Seo Seonung berjaya menyumbangkan gol melalui tiga jaringan yang dihasilkan.

Manakala dua lagi penyerang utamanya iaitu Christian Obiozor dan Hadi Fayyadh masing-masing masih belum mencatatkan sebarang gol untuk pasukan walaupun diberikan peluang beraksi dalam hampir kesemua perlawanan.

Antara mendapat kritikan keras daripada peminat pastinnya Obiozor memandangkan pemain itu ditandangani sebagai penyerang harapan untuk menyuntik pengaruhnya di barisan hadapan pasukan.

Namun begitu, ketiadaan sebarang jaringan daripada pemain berusia 28 tahun dari Nigeria itu membuatkan penyokong Perak FC mula hilang sabar dengan prestasi ditunjukkan.

obiozor3

Obiozor masih gagal mencatatkan sebarang jaringan gol meskipun sudah diberikan peluang untuk beraksi dalam enam perlawanan liga. — Facebook/PerakFC

"Harap Obiozor tak main langsung," ujar Mior Shahril yang merujuk kepada perlawanan seterusnya menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada Isnin ini di gelanggang lawan.

Malah, ada juga penyokong mencadangkan agar pemain yang berketinggian 1.92 meter itu menukar posisinya daripada bahagian penyerang ke barisan pertahanan bagi membolehkannya memberikan sumbangan lebih bermakna kepada pasukan.

"Obiozor letak main pertahanan je lah. Kurang-kurang boleh bersaing dengan pemain import lawan atau masa perebutan bola bola tinggi. Wan Zack (Haikal) letak bahagian menyerang," tulis Kien Lanz.

Bersetuju dengan pendapat tersebut ialah Anan Crespo yang berkata, "betul, bagi Wan Zack striker. Obiozor tinggi, ubah posisi bagi main pertahanan." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram