Fans ucap selamat tinggal tapi status penyerang tumpul Sang Seladang pula curi tumpuan


  • Podium
  • Khamis, 06 Apr 2023

Seo Seonung (kanan) dan Hadi Fayyadh mengemudi jentera serangan Perak FC ketika ini. — Facebook/ Perak FC

BERLEGAR di laman sosial laungan 'LTK out' susulan kekalahan tiga kali berturut-turut anak-anak buah Datuk Lim Teong Kim dalam tujuh perlawanan Liga Super musim ini.

Pengendali The Bos Gaurus itu bukan sahaja dikritik ekoran prestasi kurang memberangsangkan pasukan Perak FC, bahkan turut dilabel kurang profesional ketika berdepan dengan media.

Tindakannya memberi jawapan kepada media dengan bersikap acuh tak acuh bagai mencurah minyak ke dalam api lantaran perkara itu boleh menjejaskan periuk nasinya sendiri.

Ketika ini, ada petanda Teong Kim mungkin berada dalam senarai pengendali yang bakal direhatkan ekoran prestasi buruk pasukan selain jawapan-jawapan sarkastiknya yang dilihat boleh mencalarkan imej Perak FC.

Namun tatkala tumpuan terarah kepada Teong Kim, timbul khabar angin mengatakan ada pemain Perak FC yang mungkin bakal 'ditendang' keluar dari kelab tersebut.

Perkhabaran itu dimuat naik laman penyokong Perak FC, Silver Retro pada Selasa tanpa merujuk mana-mana pemain Perak FC.

Status itu hanya berbunyi,"Terima kasih di atas segala jasa dan bakti. Semoga berjaya di pasukan baharu."

Rata-rata penyokong mengandaikan kemungkinan penyerang import Perak FC, Christian Obiozor yang mungkin terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kerana prestasi kurang memberangsangkan setakat ini.

"Bye Obiozor, sumbangan anda amat dihargai walaupun rasa memang tiada sumbangan," kata Saiful Azfar.

"Antara Obiozor dan LTK saja ni," ujar Yus Van Yusteroy pula.

WhatsApp Image 2023-04-06 at 15.04.23

Tangkap layar IG Story Obiozor pada Khamis. — Facebook/ Instagram

Sementara itu, peledak berusia 28 tahun dari Emene, Nigeria tersebut juga seolah-olah memberi bayangan kedudukannya bersama Perak FC kini bagai telur di hujung tanduk.

Ini selepas hantarannya di Instagramnya pada Khamis menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penyokong Sang Seladang.

"Seseorang yang anda percaya mempercayai orang lain yang anda tidak percayai...berbincanglah elok-elok," katanya di Instagram Story pada Khamis.

Berdasarkan data transfermarkt.com, tiada maklumat mengenai tempoh kontrak pemain berketinggian 1.92 meter itu bersama Perak FC kecuali ditandatangani pada 3 Januari lepas.

338443453_586295886560037_3840801991144674196_n

Obiozor masih gagal mencetak nama sebagai penjaring buat Perak FC setakat ini. — Facebook/ Perak FC

Obiozor melakukan enam penampilan bersama Perak FC, dengan empat dalam kesebelasan utama manakala dua lagi dari bangku simpanan.

Penyerang Seladang itu hanya berjaya mencipta satu bantuan gol (assist) ketika aksi menentang Kuching City FC yang menyaksikan Perak menang 2-0 hasil jaringan peledak Korea Selatan, Seo Seonung.

Berbanding Obiozor, Seo Seonung yang juga ditandatangani musim ini sudah merekodkan tiga gol dalam tujuh penampilannya bersama The Bos Gaurus. Satu lagi gol dicetak penyerang import itu ketika menentang Penang FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram