Fans ada senarai '1st eleven solid' Perak FC harungi cabaran getir Liga Super


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Perak FC menerima satu lagi layangan kad merah dalam aksi menentang Sri Pahang FC di Stadium Perak, Ipoh pada Khamis. — MFL

PERAK FC kempunan memburu mata penuh lagi selepas tewas 0-3 kepada Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, pada Khamis.

Taktikal pengendali Perak FC, Datuk Lim Teong Kim mempertaruhkan ramai pemain muda kurang berpengalaman dalam pasukan terus memakan diri apabila dibelasah Tok Gajah yang hanya mengambil pendekatan menurunkan pemain tidak cergas untuk berdepan lawan.

Ketika ini, Perak FC perlu bertenang dan berfikir sejenak untuk menyusun langkah seterusnya bagi menghadapi saingan menentang Penang FC dalam perlawanan pada 31 Mac depan.

Ini disusuli pertembungan dengan jaguh Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) pada 4 April, yang tentunya bakal bermain tanpa belas kasihan dalam misi mengekalkan kedudukannya di puncak carta.

Ketika ini, Teong Kim perlu mengenal pasti muka-muka yang boleh diharap untuk mengelakkan skuad Seladang terus dimalukan pihak lawan. Kali ini, skuad The Bos Gaurus tidak boleh bereksperimen lagi.

335450025_573813238042039_6730601983172156983_n

Seo Seonung tidak berjaya menambah jaringan peribadinya ketika aksi menentang Sri Pahang FC. — Facebook

Seorang penyokong Perak FC, Azfar Aziz berpendapat Teong Kim boleh menurunkan pemain yang solid untuk diletakkan dalam pasukan bagi membentuk kesebelasan utama yang mantap terdiri daripada penjaga gol, Bryan See dan pemain pertahanan, Haziq Puad serta Raja Imran.

Selain itu di bahagian pertahanan juga dibarisi tonggak importnya, Sunday Afolabi, Faris Izdiham dan Hafizal Alias (posisi right back).

Di bahagian tengah pula boleh dikemudi Fadhil Idris (tengah bertahan), Luciano Guaycochea (Lucho) (tengah menyerang) dan Shafizi Ikmal.

Manakala bahagian serangan diketuai oleh import Korea, Seo Seonung bersama gandingannya, Hadi Fayyadh.

"Hasnul Zaim, Fahmi Daniel, Ikhwan Hafizo dan Christian Obiozor mohon subs je untuk team Liga Super. Memang tak layak main 1st eleven.

"Wan Zack Haikal dan Amirul Husaini pun boleh masuk pada separuh masa kedua. Ikutkan Obiozor hantar main team Liga Simpanan sajalah. Tak guna ada penyerang besar macam tu tapi soft sangat.

"Dengan pertahanan lokal pun kalah, tiada apa kelebihan langsung padanya (Obiozor)," katanya.

335065741_2701210633365863_7071921848850180713_n

Obiozor dirasakan layak bermain dengan pasukan Liga Simpanan. — Facebook

Tambahnya, Teong Kim pun dilihat memberi latihan lebih kepada aspek kekuatan berbanding stamina.

"Memang jelas pemain mudah cedera. Pemain Perak minit ke-70 mesti banyak akan terbaring," tambahnya.

Menurutnya lagi, barisan kejurulatihan skuad The Bos Gaurus juga dipesan supaya mengambil berat aspek bentesan memandangkan ramai pemain Perak FC dilayangkan kad merah dalam lima perlawanan pertama pasukan itu musim ini.

"Para jurulatih take note pasal tackles, kad merah Perak sampai empat musim ini, nampak sangat tidak berapa baik intercept dan tackle.

"Kepimpinan pun tiada dalam team ni. Patut Wan Zack, Hafizal dan Lucho. Tapi Wan Zack baru mula main malam ni. Kena ada pemain senior baru boleh beri motivasi kepada pemain muda dalam padang.

"Kalau tidak, tiada siapa nak tegur kesilapan," komennya lagi.

Untuk rekod, Perak FC sudah mengumpul empat kad merah dalam perlawanan Liga Super dan Piala FA.

Pemain-pemain tersebut ialah Haziq, Sunday, Fadhil dan terbaharu, Nasrol Amri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram