Perak FC mungkin perlu mandi bunga — Teong Kim


  • Podium
  • Jumaat, 17 Mac 2023

Teong Kim ketika menjawab kecaman yang dilemparkan oleh penyokong Perak.

'LAPTOP Cabuk' menemui pembaca sekali lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

PASUKAN-PASUKAN dalam Liga Malaysia akan mendapat rehat dua minggu bagi memberi laluan kepada kalendar bola sepak antarabangsa sehingga akhir bulan ini.

Barangkali tiada sesiapa yang lebih mengalu-alukannya daripada jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim, yang melihat pasukannya sedang melalui satu rentetan yang tidak banyak memihak mereka pada waktu ini.

“Kami mungkin perlu mandi bunga,” selorohnya kepada Laptop Cabuk susulan satu lagi kad merah yang keempat daripada tiga perlawanan yang membawa kepada satu lagi kekalahan 0-3 kepada Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, pada Khamis.

Mandi bunga atau mandi sintok merupakan satu amalan mandian yang diamalkan secara meluas dalam kalangan masyarakat Melayu melibatkan campuran bunga-bungaan yang disimbahkan untuk memulih dan meningkatkan minda, semangat dan fizikal badan yang dimandikan. (Wikipedia)

“Sudah tentu saya tahu mengenai mandi bunga,” kata Teong Kim yang menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Melaka.

“Jika mandi bunga dapat membantu kami, kenapa tidak,” tambah jurulatih berusia 59 tahun itu yang sebelum ini mengura-urakan untuk menagih bantuan bomoh dari Indonesia bagi mengubah nasib pasukan.

LTK

Lim Teong Kim dilantik sebagai Ketua Jurulatih Perak FC musim ini.

Dalam nada lebih serius, dia menyambut ketibaan tempoh rehat dua minggu itu sebagai bertepatan dengan masa kerana ia meluangkan kesempatan buat pemain-pemainnya yang cedera untuk pulih dan kembali beraksi nanti dalam keadaan cergas sepenuhnya.

“(Sunday) Afolabi dan (Christian) Obiozor yang ada sedikit kecederaan memerlukannya. Kapten kami (Hafizal Muhamad) pula baru kehilangan bapanya.

“Tempat rehat dan tempoh bertenang ini tentunya akan membantu mereka.”

Teong Kim menjelaskan dia memilih untuk menarik keluar Obiozor sejurus selepas Nasrol Amri Kamarul Azhan dilayangkan kad merah pada minit ke-39 kerana penyerang dari Nigeria itu mengadu kesakitan di lutut.

“Tapi saya tidak anggap kekalahan dan kad merah itu sebagai satu rentetan nasib malang di pihak kami.

“Amri cuba menghalang pemain Pahang (Sergio Aguero) yang sedang mara ke pintu gol daripada membuat jaringan. Ia keputusan spontan daripadanya untuk melakukan satu faul profesional. Saya boleh memahaminya.

“Lagipun, kami tidak turun dengan skuad penuh dan Pahang pula menunjukkan kualiti yang lebih baik (dengan menampilkan sehingga lima pemain import, Michael Glassock, Kevin Ingresso, Kpah Sherman, Stefano Brundo dan Aguero).

“Harus diingat kami adalah sebuah pasukan muda. Kita perlu berikan masa untuk pemain-pemuda ini belajar. Dan ini (kad merah merah dan kekalahan) adalah sebahagian daripada proses pembelajaran itu,” tambahnya.

Stefano

Stefano Brundo (kiri) menjaringkan gol buat pasukan Sri Pahang FC pada Khamis.

Sri Pahang mendahului seawal minit ke-13 menerusi Sherman dan melebarkan pendahuluan dalam separuh masa pertama hasil jaringan Brundo lapan minit sebelum rehat. Muhammad Zuhair Aizat Mohd Nasri menokok gol ketiga pada minit ke-73.

Seusai perlawanan, Teong Kim dirakamkan terbabit dalam dua insiden dengan penyokong – satu di belakang pintu gol dan satu lagi di tempat duduk utama.

“Ia tidak mengganggu saya,” ujarnya.

“Di belakang pintu gol, seorang peminat menghamburkan kata-kata kesat tapi saya tidak mengendahkannya dan terus berlalu.

“Di tempat duduk utama, seorang penonton mempersoalkan kenapa hanya tukarkan tiga pemain. Saya sudah masukkan Wan Zack (Haikal Wan Noor). Untuk masukkan seorang pemain, saya perlu tarik seorang keluar.

“Saya tanya balik siapa lagi yang dia mahu saya keluarkan, tentunya bukan Shivan Pillay dan Fadhil Idris kerana mereka tenaga penting. Itu yang buatkan saya jerit balik kepadanya: ‘You jadi coach lah!'

Perak FC

Perak FC berjaya mengutip lima mata dalam lima perlawanan Liga Super.

Di sebalik insiden pertegangan urat itu, Teong Kim tetap merakamkan penghargaannya kepada kira-kira 5,000 penyokong yang tetap bersorak untuk pasukan sekalipun mereka sedang ketinggalan.

“Mereka adalah penyokong sejati. Saya minta maaf kerana tertinggal untuk ucapkan terima kasih kepada mereka ketika sidang akhbar selepas perlawanan.

“Saya benar-benar hargai mereka. Saya juga mahu pemain-pemain saya bersikap terbuka dengan penyokong kerana kami semua terhutang budi kepada mereka.

“Saya percaya penyokong sejati ini akan terus datang menyokong kami sekalipun selepas kekalahan ini,” katanya lagi.

Namun, idea di sebalik seloroh mandi bunga itu harus bukan sesuatu yang buruk ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram