Sokongan terbuka kelab (jika di Croatia) petanda akan dipecat, gurau Steinbruckner


  • Podium
  • Khamis, 04 Mei 2023

Tomi (tengah) menaruh keyakinan TFC mampu memperbaiki kedudukan dalam pusingan kedua liga bermula 7 Jun nanti. — Facebook/ Terengganu FC

LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.

PENAFIAN Terengganu FC terhadap khabar angin ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner, akan digugurkan sebagai tidak benar, harus melegakannya. Tapi reaksi pertamanya bersama rakan-rakan senegara dalam pasukan adalah hilai ketawa.

Bukan niatnya mempersendakan mandat terbaru daripada pengurusan kelab itu, sebaliknya gurauan yang lazimnya berlaku di negara asalnya, Croatia, bahawa sokongan terbuka kelab kerap menjadi petanda kepada pemecatan yang bakal berlaku.

“Saya dan pasukan mendapat surat amaran sebelum ini dan reaksi positif kami menyaksikan Terengganu FC kembali ke landasan kemenangan.

“Pada pagi Selasa, kami adakan pertemuan dengan pengurusan pasukan dan dimaklumkan khidmat saya dan penolong-penolong saya akan dikekalkan. Perasaan saya bercampur-baur,” katanya.

“Selesai pertemuan itu, saya berseloroh dengan penolong-penolong saya dari Croatia (penolong jurulatih, Ivo Vranjes, jurulatih kecergasan, Hrvoje Bradasic, dan jurulatih penjaga gol, Domagoj Malovan), ‘habislah kita semua’.

“Mereka juga ketawa kerana memahami maksud saya. Sudah menjadi semacam kelaziman di Croatia, apabila kelab membuat hebahan melalui media untuk mengekalkan barisan jurulatihnya, ia jadi petanda bahawa mereka semua akan dipecat tidak lama selepas itu,” ceritanya kepada Laptop Cabuk.

Terengganu FC dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan khabar angin kononnya Steinbruckner bakal digugurkan daripada jawatan ketua jurulatih adalah tidak benar.

Perkembangan itu adalah berikutan prestasi skuad Sang Penyu itu yang mengecewakan apabila hanya merekodkan 13 mata selepas 10 perlawanan Liga Super.

Steinbruckner atau lebih singkat dipanggil Tomi turut merujuk kepada satu surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Terengganu FC kepadanya dan pasukan susulan prestasi mereka yang mengecewakan selepas lima perlawanan pada awal musim ini.

Tewas 0-2 kepada Johor Darul Takzim dalam perlawanan Piala Sumbangsih, skuad Penyu itu kemudian tewas 0-1 kepada Kedah FC, seri 0-0 dengan Kuala Lumpur City FC, menang 1-0 ke atas PDRM FC dan kembali tewas kepada Negeri Sembilan FC 1-2 untuk hanya menghimpun empat mata ketika itu.

Namun, susulan surat tunjuk sebab itu, Terengganu FC kembali ke landasan kemenangan dengan menundukkan Kelantan United 2-1, Kelantan FC 5-0 dan Kuching City FC 2-0, disusuli kejayaan mengatasi Melaka United 4-0 dalam aksi Piala FA, keempat-empatnya di halaman sendiri.

341653740_549238187332221_1419317024260414322_n

Terengganu FC mengatasi Melaka United 4-0 dalam aksi Piala FA baru-baru ini. — Facebook/ Terengganu FC

“Ketika itu, saya berseloroh dengan penolong-penolong saya mengapa mereka tidak berikan surat tunjuk sebab itu lebih awal, kami mungkin sudah jauh lebih baik dari ketika ini.

“Saya turut mendengar banyak rungutan penyokong dalam media sosial yang mereka tidak gembira selepas lima perlawanan pertama itu. Sebagai jurulatih, saya juga menjangkakan akan mendapat amaran seperti itu.

“(Sebaliknya) kini dengan mandat yang diberikan pengurusan untuk kami meneruskan tugas, saya mula berasa bimbang,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 56 tahun itu berharap gurauannya terhadap sokongan yang diberikan pengurusan, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh, terhadapnya dan barisan kejurulatihan, tidak akan menjadi kenyataan.

Mengandaikan pasukannya harus mengisi tangga di antara keempat dan keenam berbanding tangga kelapan dengan 13 mata ketika ini, Steinbruckner menaruh keyakinan mereka mampu memperbaiki kedudukan dalam pusingan kedua liga bermula 7 Jun nanti.

336386664_1328892021011248_3832438870462102401_n

Tomi tidak gusar dengan pasukannya kerana perjalanan musim masih ada separuh lagi. — Facebook/ Terengganu FC

Namun, mereka harus lebih dahulu menghabiskan baki tiga perlawanan dalam pusingan pertama ini – menentang Sabah (Away) pada 19 Mei, Penang FC (Home) pada 24 Mei dan Perak (A) pada 3 Jun.

“Jika kami mampu dapatkan dua atau tiga gol lagi dan kurangkan kesilapan individu di barisan pertahanan dalam beberapa perlawanan lalu, secara realitinya kami sepatutnya dapat mengisi tangga keempat hingga keenam,” katanya.

Diajukan kepadanya mengenai perbandingan yang sering diutarakan penyokong di antaranya dan Nafuzi Zain yang mengemudi skuad Penyu itu ke tangga kedua liga musim lalu, Tomi berkata, ia tidak menggusarkannya kerana perjalanan musim masih ada separuh lagi.

“Nafuzi adalah seorang jurulatih yang bagus tapi sebarang perbandingan dengan saya mungkin tidak adil kerana saya mewarisi sebuah pasukan yang sebahagiannya adalah muka baru, termasuk kehilangan Manuel Ott dan Faisal Abdul Halim daripada musim lalu.

“Tapi selepas kemasukan Jordan Mintah dan Ivan Mamut (masing-masing sudah menjaringkan empat gol dalam liga), ia harus memberikan kami harapan lebih baik dalam pusingan kedua nanti,” tambahnya.

343413977_1393484458096667_2160308379335620610_n

Tomi bersedia terhadap sahaja kemungkinan terhadap kedudukannya. — Facebook/ Terengganu FC

Ditanya bagaimana jika gurauannya dengan Vranjes, Bradasic dan Malovan berkaitan sokongan terbuka pengurusan kelab benar-benar menjadi kenyataan, Steinbruckner memilih untuk bersikap profesional.

“Kedudukan pasukan ketika ini memang tidak bagus dan kerana itu, saya bersedia terhadap apa saja kemungkinan.

“Saya seorang profesional 100 peratus. Saya sentiasa akan melakukan yang terbaik, sehabis daya saya.

“Cuma, apabila pasukan dilihat bergelut untuk menjaringkan gol, saya tidak boleh meminta untuk masuk bagi melakukan tugas sebagai penyerang,” kata Tomi yang pernah beraksi sebagai pemain tengah untuk beberapa kelab Croatia, Osijek, Marsonia, Belisce, Uljanik, Istra dan Cibalia di antara 1984-1999. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram