BERHIJRAH ke kelab KL City FC pada musim ini, Tchetche Kipre tidak kehilangan sentuhannya di depan pintu gol.
Berikutan faktor usia, pemain berusia 35 tahun itu sentiasa dilihat sebagai pemain gantian kepada penyerang lain dalam Liga Super sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun pemain kelahiran Ivory Coast itu sentiasa mencari jalan untuk mendapatkan keyakinan jurulatih bagi diturunkan dalam kesebelasan utama.
Namun demikian, pada awalnya, dia tidak memulakan tiga perlawanan pertama musim ini kerana penyerang Brazil, Herlison Caion lebih diutamakan sebagai penyerang tunggal di barisan hadapan.
Tetapi dalam lima perlawanan terakhir, Kipre menjadi tumpuan dan dia membalas kepercayaan jurulatih Bojan Hodak dengan menjaringkan tiga gol selain membuat satu bantuan gol.
Kipre (tengah) sudah menjaringkan tiga gol bersama KL City FC. — Facebook/ KL City FC
Caion pula berjaya menjaringkan satu gol dan membantu dua bantuan gol setakat ini dalam saingan liga.
Musim lalu, Kipre ditandatangani Terengganu FC untuk bergandingan dengan Kpah Sherman, tetapi dia menewaskan pemain Liberia itu dengan menjaringkan 19 gol dalam 24 perlawanan, manakala Kpah (13 gol dalam 22 perlawanan).
Kipre berkata, dia percaya kerja keras dalam latihan akan menerima ganjaran dengan peluang beraksi dalam kesebelasan utama.
“Saya sentiasa teruja untuk membantu pasukan apabila dapat peluang bermain.
"Apabila anda bersaing dan memberikan yang terbaik, jurulatih akan memiliki lebih banyak keyakinan terhadap anda,” kata Kipre.
Kipre juga pernah mencetak nama sebagai salah seorang penjaring prolifik Sang Kenari. — Facebook/ KDA FC
Menurutnya, usia tidak menjadi penghalang dan dia menjadikan pengalaman sebagai sandaran setiap kali dapat beraksi.
“Saya tahu bila perlu membuat hantaran, jadi saya lebih tenang dan lebih yakin.
"Dan saya enggan mengingatkan diri saya tentang umur. Untuk berada pada tahap ini, rehat dan pemulihan adalah sangat penting," katanya.
Kipre yang juga pernah beraksi dengan Kedah Darul Aman FC berkata, jika tidak berpeluang beraksi dalam kesebelasan utama, dia tidak akan berasa teruk dengan dirinya.
“Saya anggap ia sebagai cabaran untuk membuktikan kepada mereka bahawa saya layak untuk berada dalam kesebelasan utama," katanya.
Kipre berharap, dia dapat meningkatkan jumlah jaringan golnya musim ini. — Facebook/ KL City FC
Mengulas mengenai KL City FC, Kipre berkata, mereka tidak mempunyai permulaan yang baik, tetapi mereka telah memantapkan pasukan sejak beberapa minggu lalu.
"Kami berada dalam momentum kemenangan selepas meraih lima kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan dan ia bagus," katanya.
Skuad The City Boys menduduki tempat keenam liga dengan 15 mata daripada sembilan perlawanan dan layak ke suku akhir Piala FA, yang mana mereka akan menentang Sabah pada 27 Mei di Stadium Likas di Kota Kinabalu.
Kipre berharap, dia dapat meningkatkan jumlah jaringan golnya.
"Saya boleh dapat lebih banyak, tetapi saya menyesuaikan diri dengan taktik pasukan," katanya.
Penyokong KL City boleh mengharapkan lebih banyak gol daripada Kipre, yang semakin mendapat tempat sebagai salah seorang pemain import terkemuka dalam Liga Malaysia. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram