HARIMAU Muda memulakan kempen Sukan SEA di Kemboja dengan langkah kanan apabila menang mudah menunddukan Laos dengan kemenangan bergaya 5-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Olympic, Phnom Penh pada Rabu.
Skuad bola sepak Bawah 22 tahun (B-22) negara itu menunjukkan kehebatan mereka apabila mencetak gol pertama seawal minit keempat menerusi jaringan dari Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili.
Namun bek tengah Terengganu FC II (TFC II) itu mengecewakan pasukan selepas membuat jaringan di gawang sendiri pada minit ke-21 dan seterusnya memberi kelebihan kepada pasukan Laos untuk menyamai kedudukan 1-1.
Episod menjaring di laman sendiri terus bersambung tapi kali ini giliran Laos pula menghadiahkan jaringan percuma kepada Malaysia menerusi kesilapan Anantaza Sipohongpan pada minit ke-28.
Bersambung di babak kedua, Malaysia menggunakan peluang sebaik-baiknya untuk melakukan serangan dan giliran Muhammad Syahir menterjemahkan dalam bentuk jaringan pada minit ke-74.
Di penhujung masa kecederaan, bintang muda dari Johor Darul Takzim (JDT), Muhammad Najmuddin sempat mencetak satu gol sebelum Laos sekali lagi menjaring di laman sendiri.
Kesebelasan utama Harimau Muda menentang Laos. — Facebook/FAM
Perlawanan yang menyaksikan beberapa jaringan sendiri terhasil, termasuk yang berpunca daripada kesilapan Ubaidillah sukar dilupakan peminati yang tidak henti-henti menjadikan tonggak TFC II itu sebagai bahan jenaka.
Sementara itu, persembahan tiga pemain yang pernah beraksi bersama pasukan senior iaitu Mukhairi Ajmal, Azam Azmi Murad dan Haqimi Azim pula dikatakan tidak mencapai standard memuaskan.
"Padang memang teruk. Tapi Laos pon main padang yang sama. Lepas dapat gol pertama, permainan Malaysia nampak macam agak kenduri, santai-santai sahaja macam dah leading dua tiga gol. Masa tengok scorer gol Malaysia oleh Ubai macam dah rasa tak sedap hati saja. Rupanya betul-betul terjadi. Dia jugak lah tolong score untuk Laos.
"Nasib baik Malaysia dapat gol lagi sebelum rehat separuh masa pertama. Pemain harapan macam Azam dan Mukhairi nampaknya belum capai standard macam pemain yang pernah membarisi pemain skuad utama kebangsaan," komen penyokong, Azizul Juan.
"Haqimi itu nak main ke tak tu..main macam nak tak nak saja.. dah kenapa. Kalau tidak main bagi tahu jurulatih. Senang, orang lain boleh ganti," tambah penyokong, Ariffin Ghafar.
Selepas ini, Harimau Muda akan menentang Thailand B-22 (6 Mei), Vietnam B-22 (8 Mei) sebelum menutup saingan peringkat kumpulan bertemu Singapura B-22 (11 Mei). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram