'Forum terbuka, sampai hari ini tiada yang berani,' TMJ 'mengamuk' idea pemilikan stadium Liga M


  • Podium
  • Khamis, 04 Mei 2023

Pemilik kelab Selatan tanah air itu sememangnya cukup terkenal dengan usahanya dalam dunia bola sepak. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

ISU pemilikan stadium dalam kalangan kelab-kelab bola sepak tanah air seperti tidak pernah berakhir, lebih-lebih lagi dari segi kualiti penjagaan.

Masalah fasiliti dan kemudahan, terutamanya mengenai padang sememangnya menjadi perhatian ramai yang seakan-akan sudah bosan dengan mutu bola sepak tanah air.

Ketika ini, hanya Stadium Sultan Ibrahim, Johor yang dimiliki Johor Darul Takzim (JDT) menggunakan rumput berkualiti tinggi yang mudah diselenggara serta dijaga.

Demi meningkatkan tarikan dalam kalangan peminat, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini menawarkan pihak pengurusan kelab-kelab tanah air untuk menukar rumput yang digunakan di stadium.

Namun, usaha itu seperti tidak membuahkan hasil apabila kebanyakan kelab Liga Malaysia enggan menerima tawaran itu dengan alasan tersendiri.

game-padang-basah

Kualiti padang di stadium tempatan terus menjadi bahan bualan. Agensi

Antara hujah yang diberikan mereka adalah pasukan tempatan tidak mempunyai dana mencukupi untuk melakukan penyelenggaraan berkala.

Bagaimanapun sekali lagi baru-baru ini, FAM membuka pintu untuk membantu menaikkan lagi taraf serta mutu liga tanah air dengan menegaskan bahawa pihaknya sedia memudahkan kerja-kerja pemilikan penuh stadium.

Hal itu sebagai cara untuk memudahkan kerja-kerja menaik taraf, termasuk penjagaan padang yang diharapkan mampu menarik lebih ramai penonton ke stadium untuk menyaksikan perlawanan.

Tawaran berkenaan sememangnya menerima respons cukup positif daripada rata-rata pengikut setia bola sepak tanah air yang berpuas hati dengan usaha ditunjukkan badan induk sukan tersebut.

Namun, perasaan itu tidak dikongsikan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang berasakan ia seperti satu usaha yang sia-sia.

"RM200,000 setahun untuk kerja-kerja penyelenggaraan padang pun tidak boleh terima dan cakap tak mampu, macam mana nak ada stadium sendiri? Siapa nak jaga?

"Cakap dan nak buat sesuatu itu biarlah berdasarkan fakta. Semua cakap dan berikan pandangan tidak betul kepada penyokong," tulisnya menerusi akaun Instagram peribadinya.

344362456_951725942948023_6956400116556223825_n

JDT sekali lagi meningkatkan mutu serta kualiti padang di kesemua stadium milik mereka. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Baru-baru ini, JDT turut mengambil langkah berbeza apabila sekali lagi menaik taraf kualiti padang kerana difahamkan TMJ tidak berpuas hati dengan mutu kelab itu.

Ia sememangnya membuktikan usahanya dalam memastikan standard pasukan Selatan tanah air tidak pernah jatuh, yang mana dilihat sebagai satu kunci kejayaan mereka.

Selain itu, TMJ sekali lagi mengingatkan bahawa sesi soal jawab yang sebelum ini diutarakan terhadap pihak pengurusan kelab liga tempatan wajar diambil.

"Itu pasal saya cakap berkali-kali untuk adakah forum secara terbuka bagi penyokong serta kesemua presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi mereka tanya apa sahaja soalan.

"Sampai ke hari ini, semuanya diam sahaja, tiada yang berani. Penyokong sekarang boleh nilai sendiri kenapa semua takut?" katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram