'He's back', fans tak sabar nantikan saat bekas pemain JDT kembali sarung jersi Sabah


  • Podium
  • Khamis, 04 Mei 2023

Sabah FC mencatatkan kemenangan bergaya untuk mengekalkan kedudukan di tangga keempat Liga Super 2023.  — Facebook/Sabah FC

KECEMERLANGAN Sabah FC dalam Liga Super musim ini diteruskan dengan kemenangan bergaya ke atas Selangor FC di Stadium Likas, Sabah pada 27 April lalu.

Gaya permainan dan persembahan cukup meyakinkan dipamerkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee yang membawa pulang tiga mata daripada aksi tersebut.

Bagaimanapun, pemerhatian lebih mendalam terhadap pertembungan berkenaan membuktikan masih terdapat beberapa perkara yang perlu ditambah baik kelab Borneo itu.

Antara aspek utama yang perlu diberi perhatian pastinya mengenai ketiadaan seorang pemain tengah bertahan yang mampu mengasak pemain lawan.

Dalam perlawanan itu, tugas tersebut dipikul pemain kebangsaan, Stuart Wilkin dengan dibantu Telmo Castanheira, namun ia masih tidak membuahkan hasil sepertimana yang diharapkan.

Kekurangan dari segi pengalaman serta fizikal Wilkin sedikit sebanyak membenarkan pemain Selangor FC mengambil kesempatan sehingga mereka berjaya menjaringkan gol menerusi Faisal Halim.

Jadi, dengan skuad Sang Badak terus mengharapkan prestasi musim lepas dapat diteruskan, pasti terdapat kerisauan dalam kalangan mereka mengenai isu tersebut.

Namun, kerisauan berkenaan seperti segera diubati apabila beberapa keping foto yang dimuat naik Sabah FC baru-baru ini melihatkan kepulangan pemain tengah, Gary Steven Robbat.

Pemain yang cukup dikenali dengan semangat serta kesungguhan untuk mencuri bola daripada pihak lawan dikatakan antara punca skuad kendalian Kim Swee layak ke pentas Asia musim lalu.

WhatsApp Image 2023-05-04 at 14.06.25

Kelibat Gary ketika sesi latihan skuad Sang Badak pada Khamis.Facebook/Sabah FC

Tetapi, kecederaan serta isu kecergasan yang dialaminya sejak penghujung 2022 menyaksikan dia gagal meraih tempat dalam kesebelasan utama.

Selain itu, pemain berusia 30 tahun itu masih belum merekodkan sebarang penampilan dalam Liga Super 2023, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai masa depannya.

Bagaimanapun, apabila kelibatnya dikesan ketika sesi latihan, ada kemungkinan dia akan kembali bersama-sama skuad Sang Badak dalam masa terdekat.

"Gary kalau sudah kembali cergas, cukup bagus untuk meletakkannya sebagai pemain tengah. Cukup lasak dan sesuai untuk digandingkan bersama Park Tae-su," kata Jandilon Masador.

"Harap-harapnya dia akan diturunkan untuk memberikan pilihan kepada Kim Swee untuk menggantikannya dengan pemain yang cedera," kata Syameer Miqkhail.

"Bagus juga kalau dia ni ada, kalau asyik beri Stuart main pun, tidak sama rasanya seperti ketika si Gary ni ada," kata Zulfadhli Bakar.

Gary yang sebelum ini pernah beraksi bersama Johor Darul Takzim (JDT) dan Melaka United memilih untuk menyertai skuad Sang Badak pada Januari 2022.

Sejak tiba di kelab Borneo itu, pemain kelahiran Kulim, Kedah tersebut terus mendapat tempat dalam hati penyokong Sabah FC dengan persembahannya yang cukup bersemangat.

Kali terakhir Gary beraksi bersama skuad utama adalah ketika kekalahan dalam saingan Liga Super musim lalu ke atas JDT yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram