Makin gasak terajui bola sepak tanah air, JDT ajak akademi lain sertai kejohanan remaja antarabangsa


  • Podium
  • Rabu, 03 Mei 2023

Pemain Akademi JDT pernah menerima sijil dan plak Ahli Emas Piagam SupaRimau FAM. — Bernama

BAGI mencari pelapis pemain bola sepak negara, pembangunan dari akar umbi amat penting kerana dari situlah bakat muda akan dikesan dan digilap sehingga menjadi aset terbaik tanah air pada masa hadapan.

Di Malaysia, antara program popular yang memainkan peranan untuk mencari prospek tanah air ialah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) dan beberapa akademi negeri.

Salah satu akademi negeri yang semakin menunjukkan minat dan fokus mereka terhadap pembangunan di peringkat akar umbi ialah Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT) terutamanya selepas mereka difahamkan akan menganjurkan kejohanan remaja antarabangsa.

Penganjuran kejohanan tersebut diumumkan menerusi laman media sosial rasmi skuad Harimau Selatan yang mana kelab tersebut akan menyediakan pertandingan yang lebih mantap untuk pelatih-pelatih Akademi JDT.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak JDT, Alistair Edwards menyatakan bahawa idea tersebut tercetus kerana pasukan berkenaan menyedari kekurangan pertandingan berkualiti mampu merencatkan pembangunan di peringkat akar umbi.

akademi jdt

Pemain Akademi JDT memenangi Kejohanan Yakult Aidil Zaquan Cup 2022. — Facebook/JDT

"Struktur semasa di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) hanya menyediakan pertandingan untuk pasukan Bawah-19, Bawah-23 hingga ke pasukan senior sahaja.

"Ianya sangat diperlukan untuk mempunyai pertandingan kompetitif bagi semua pasukan akademi kami kerana kami mempunyai pasukan Bawah-13 hingga Bawah-18 yang kekurangan perlawanan berkualiti disebabkan ketiadaan pertandingan yang sesuai," tulis kenyataan itu.

Bukan itu sahaja, kelab yang sudah menjuarai Liga Super sebanyak sembilan kali berturut-turut itu juga mengajak akademi dalam negara dan luar negara untuk turut serta menyertai kejohanan berkenaan.

"Pertandingan ini akan dibuka kepada akademi antarabangsa dan dalam negara.

"Maklumat lanjut tentang pertandingan ini akan diumumkan pada masa terdekat selepas sanksi untuk menjalankan pertandingan ini diberikan oleh pihak yang berwajib," tulisnya.

Melihat respons dari penyokong bola sepak tempatan, rata-ratanya senada bahawa insiatif yang dilakukan JDT itu adalah sangat bagus untuk memberikan pendedahan awal mengenai perlawanan kompetitif kepada pemain cilik.

Tidak kurang juga ada yang memuji tindakan JDT tersebut dan berpendapat Harimau Selatan sudah membuktikan mereka adalah perintis dalam bola sepak tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram