BARU-BARU ini nama pemain berpengalaman, Amri Yahyah menjadi bualan penyokong bola sepak tanah air gara-gara pemain Sabah FC itu ‘menghadiahkan siuu’ kepada Selangor FC selepas The Rhinos menang 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas pada 27 April lalu.
Amri yang melakukan gaya keraian kemenangan seperti pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim itu mencetuskan perdebatan hangat sehingga menyifatkan legenda Gergasi Merah tersebut seperti tidak menghormati pasukan lamanya.
Selain penyokong Gergasi Merah yang tidak henti-henti mengecam Amri, bekas tonggak Selangor FA seperti Azman Adnan, Nizaruddin Yusof dan Razman Roslan juga tampil mengkritik tindakan pemain berusia 42 tahun itu.
Walaupun ramai yang memberi kata-kata kurang manis terhadap bekas penyerang kebangsaan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir tampil mendedahkan sisi baik Amri.
Ahmad Marzuki menyifatkan penyerang kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu mempunyai ciri-ciri ketua dan mampu membimbing rakan sepasukan dan pemain junior The Rhinos.
Selepas perlawanan tersebut, Faisal dan Amri sudahpun berdamai dan berpelukan. — Instagram @ratu_amri
"Isu Faisal dengan Amri itu sebenarnya tiada hal. Biasalah orang nak raihkan gol tapi ramai nak kaitkan dengan Faisal. Itu kan memang celebration Cristiano Ronaldo ketika jaringkan go.
"Amri seorang penghibur dalam pasukan. Dia team leader dalam dan luar padang. Banyak memberikan contoh yang baik kepada semua pemain sama ada Liga Super atau skuad remaja seperti B23 (Bawah-23) dan B18 (Bawah-18)," katanya kepada Majoriti.
Malah, disebabkan sikap Amri yang cukup disenangi rakan-rakan The Rhinos itu, Ahmad Marzuki juga tidak melepaskan peluang untuk menawarkan jawatan dalam kejurulatihan Sabah FC.
Bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) itu bagaimanapun menolak tawaran berkenaan berikutan tidak berminat untuk melibatkan diri dalam karier kejurulatihan.
Ahmad Marzuki akui memberi tawaran kepada Amri untuk menjadi barisan kejurulatihan Sabah FC. — Facebook/Sabah FC
"Sabah FC pernah tawar Amri jadi barisan kejurulatihan tapi Amri tolak. Amri tidak berminat nak jadi jurulatih. Mungkin dia berminat untuk berniaga.
"Mengenai perihal sama ada dia gantung but di Sabah, semuanya bergantung kepada Amri," jelasnya.
Pemain yang juga pernah menabur bakti bersama Sarawak United itu menyertai Sabah pada musim 2021 dan Amri berhasil memberikan impak pada bahagian serangan The Rhinos.
Sejak musim 2021, Amri sentiasa menjadi pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama dan dia berhasil mencetak sembilan jaringan gol buat Sabah, selain dipilih sebagai ketua pasukan dalam beberapa perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,