'Allah sebaik-baik merancang', Abey kongsi gambar pilu bukti tidak sertai Sukan SEA Kemboja


  • Podium
  • Selasa, 02 Mei 2023

Muhammad Rahadiazli ketika mewakili Malaysia pada kejohanan Sukan SEA di Vietnam pada tahun lepas. — Instagram/Rahadiazli

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin mengumumkan senarai akhir 20 pemain skuad Harimau Muda yang akan berlepas ke Phnom Penh, Kemboja untuk aksi di Sukan SEA yang akan berlangsung bermula Mei ini.

FAM menerusi laman web rasmi berkongsi senarai akhir 20 pemain Harimau Muda antaranya pemain yang sering menjadi kesebelasan utama kelab masing-masing iaitu Mukhairi Ajmal, Azam Azmi Murad dan Sikh Izhan Nazrel.

Daripada 25 pemain yang sebelum ini dipanggil ke kem latihan skuad Bawah 22 tahun (B-22), seramai lima tonggak tidak disenaraikan iaitu Muhammad Syakimi Karim (Negeri Sembilan FC), Mohammad Zharmien Ashraf Ismail (Kedah Darul Aman FC), Fakrul Fareez Aidi (Selangor FC), Muhammad Nadzwin Mohd Salleh (Kuala Lumpur City FC).

WhatsApp Image 2023-05-02 at 09.36.09

Senarai 20 pemain Harimau Muda yang akan mewakili tanah air ke Sukan SEA Kemboja. — Instagram/FAM

Manakala, Muhammad Rahadiazli Rahalim dari Terengganu FC yang sering menjadi penjaga gol utama dalam kejohanan B-22 tahun difahamkan terpaksa digugurkan Sukan SEA pada kali ini kerana mengalami masalah kecederaan tangan.

Perkara tersebut juga dikongsikan dan disahkan sendiri oleh penjaga gol yang mesra dengan panggilan Abey itu di laman Insta Story dengan memuat naik gambar x-ray keadaan tangannya.

‘ALLAH sebaik-baik merancang. Semoga berjaya Sukan SEA kawan-kawan,” tulisnya pada hantaran tersebut.

WhatsApp Image 2023-05-02 at 09.36.13

Perkongian dari Muhammad Rahadiazli mengenai keadaan tangannya. — Instagram/Rahadiazli

Sebelum ini, Muhammad Rahadiazli merupakan watak utama membantu Malaysia menamatkan penantian 40 tahun menjulang Piala Merlionselepas membenam pasukan bawah 22 tahun (B-22) Hong Kong dengan keputusan 2-1.

Dengan kehilangan tonggak berusia 21 tahun itu, tanggungjawab untuk menjaga gawang akan diserahkan kepada dua lagi pemain iaitu Sikh Izhan daripada skuad Jang dan Azim Al Amin yang menyarung jersi Kuala Lumpur City di saingan Liga Super.

Skuad di bawah kendalian E.Elavarasan itu akan turun pada aksi pertama Kumpulan B menentang Laos pada Rabu (3 Mei), Thailand pada Isnin (8 Mei) dan Singapura pada Selasa (11 Mei) di Stadium Prince.

Sekiranya skuad bola sepak lelaki kebangsaan ini berjaya melepasi peringkat kumpulan, mereka akan beraksi di pusingan separuh akhir pada 13 Mei dan aksi final serta penentuan tempat ketiga atau empat yang akan berlangsung pada 16 Mei. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram