JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) berkemungkinan akan memberi peluang kepada pasukan Kelantan FC untuk menggunakan khidmat pemain mereka bagi memantapkan pasukan.
Perkembangan itu bukanlah perkara baharu kerana pemilik The Red Warriors (TRW), Norizam Tukiman pernah memberi bayangan mengenai hal itu sebelum cuti sambutan Aidilfitri.
Namun, dalam kemas kini terbaharu di Facebook pada Isnin, Norizam yang juga mesra disapa Zamsaham memberitahu, ada peluang buat pasukan TRW diperkuat dengan beberapa pemain pinjaman dari Harimau Selatan.
Lantas, penyokong mula mencongak-congak dalam pemikiran masing-masing siapa pemain yang mahu dipinjamkan sesuai dengan taktikal ketua jurulatihnya, Frank Bernhardt.
Safawi mungkin tidak akan menghabiskan tempoh pinjamannya di Ratchaburi FC. — Facebook/ Ratchaburi FC
Selain pemain pertahanan, ramai penyokong mahu pemain penyerang yang dibawa masuk secara pinjaman ke Kelantan FC memandangkan skuad TRW masih perlu menambah baik jentera serangan mereka.
Dengan faktor kerjasama yang terjalin antara Norizam dan TMJ, nampak gaya, pemain yang menjadi rebutan ramai, Safawi Rasid yang berkelana di Thailand ketika ini, lebih cerah ke Kelantan berbanding Terengganu FC dan Sri Pahang FC.
Safawi sebelum ini dikaitkan dengan skuad Tok Gajah yang sudah mendapatkan khidmat tiga pemain JDT secara pinjaman iaitu Syazwan Andik, Azrif Nasrulhaq dan Izham Tarmizi.
Bagaimanapun, khidmat Safawi yang beraksi dengan Ratchaburi FC ketika ini, turut diidam oleh Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner bagi membantu pasukan itu yang kini berada dalam prestasi tidak menentu ketika ini.
Menurutnya, TFC akan cuba mendapatkan Safawi sekiranya JDT sedia melepaskan pemain sayap kebangsaan itu yang difahamkan tidak akan menghabiskan tempoh pinjamannya di Ratchaburi FC.
Syafiq (kanan) tidak banyak memperoleh minit permainan musim ini. — Facebook/ JDT
Selain Safawi, seorang lagi pemain bintang JDT, Syafiq Ahmad menjadi rebutan kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) kerana ketajamannya di hadapan gawang.
Bukan sahaja Kedah Darul Aman FC, malah Perak FC turut mengidamkan khidmat peledak Harimau Malaya itu yang terkenal dengan sentuhan tandukan kepala berbisa.
Tidak mustahil Syafiq mungkin dipinjamkan ke Kelantan untuk memberi peluang kepadanya mendapatkan lebih banyak minit permainan serta membina semula prestasi.
Kualiti yang dimiliki Syafiq baik dari segi hantaran mahupun gelecek pastinya merupakan satu daya tarikan dan merupakan pilihan terbaik Kelantan untuk memperbaiki serangan pasukan.
Kelantan FC ketika ini berada di tangga kedua tercorot selepas hanya merekodkan satu kemenangan serta satu keputusan seri setakat 10 aksi Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram