SELEPAS pemecatan jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik, pihak pengurusan Kelantan FC mengesahkan perlantikan Frank Bernhardt sebagai ketua jurulatih mereka yang baharu.
Spekulasi tentang nama Frank Benhardt menjadi jurulatih Kelantan sudah lama bertiup kencang sejak dia dilantik menjadi pengarah teknikal pasukan lagi.
Benhardt sebelum ini menjadi bualan penyokong bola sepak apabila berjaya menjadikan UiTM FC sebagai pasukan yang mampu memberi saingan kepada kelab-kelab Liga Malaysia walaupun dengan bajet yang kecil.
Semasa mengendalikan UiTM pada 2020, Benhardt berjaya meletakkan pasukannya itu di tangga keenam Liga Super dengan mengetepikan nama-nama besar seperti Sri Pahang, Melaka United dan Sabah FC.
Namun kejayaan Benhardt itu dibantu dengan beberapa tonggak utama skuad UiTM FC yang mana kemudiannya menjadi perhatian pasukan gergasi dalam Liga Super.
Jika pihak pengurusan Kelantan mahukan kejayaan berulang Benhardt semasa di UiTM, tiga pemain ini harus dibawa menjelang perpindahan kedua Liga Super nanti.
Rabih Ataya ketika mewakili KDA FC. — Facebook/KDA FC
1. Rabih Ataya (Lubnan)
Kali terakhir Rabih Ataya bermain di dalam Liga Malaysia apabila mewakili Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada musim 2021 selepas menampilkan aksi luar biasa bersama UiTM FC.
Rabih Ataya antara tonggak utama UiTM FC ketika Benhardt menjadi ketua jurulatih pasukan itu.
Pemain berusia 33 tahun ini antara arkitek UiTM FC dalam menggerakan serangan pasukan dari universiti itu.
Kedatangan pemain sayap ini pastinya didambakan oleh penyokong Kelantan kerana umum mengetahui bekas penyerang prolifik TRW berasal dari Lubnan.
Sekali gus mengimbau kembali zaman kecemerlangan TRW semasa Mohamad Ghaddar menjadi penyerang pasukan mereka.
Musim lalu Gustavo berjaya menghasilkan 11 gol dalam 13 perlawanan Liga Super. — Facebook/NSFC
2. Gustavo Almeida (Brazil)
Meskipun beraksi cemerlang bersama Negeri Sembilan FC (NSFC) musim lalu, Gustavo masih gagal memikat hati pihak pengurusan The Jangs bagi mengekalkan khdimatnya bagi menghadapi Liga Super 2023.
Musim lalu Gustavo berjaya menghasilkan 11 gol dalam 13 perlawanan liga yang mana menyaksikan Negeri Sembila menduduki tangga keempat dalam Liga Super.
Namun adakah anda tahu, sebelum kehadiran Gustavo ke dalam skuad K.Devan musim lalu.
Pemain berusia 26 tahun ini pernah berada di bawah bimbingan Benhardt ketika mewakili UiTM FC pada 2020.
Semasa berada di UiTM, Gustavo menjaringkan enam gol dalam lapan penampilan dan pastinya penyokong Kelantan mengidamkan untuk melihat pemain ini bergandingan dengan Ismahil Akinade.
Nirennold pastinya boleh menjadi pengganti ideal buat Carli de Murga. — Facebook/UiTM FC
3. Victor Nirennold (Perancis)
Victor Nirennold pada awal musim ini pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Selangor FC.
Perkara itu didedahkan oleh pemerhati sukan, T. Avineshwaran yang menyatakan bahawa The Red Giants sebelum ini melihat kehadiran bekas bek tengah Fleetwood Town itu untuk menambah kualiti pada barisan pertahanan.
Pemain kelahiran Perancis itu tidak asing lagi dalam bola sepak tempatan kerana pengalamannya yang pernah beraksi bersama UiTM FC selama dua musim dari 2020 hingga 2021.
Nirennold pastinya boleh menjadi pengganti ideal buat Carli de Murga selepas dia meninggalkan pasukan atas persetujuan bersama pihak pengurusan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram