Warna-warni Amri Yahyah, OKS puji karakter dalam dan luar padang


  • Podium
  • Isnin, 01 Mei 2023

Amri (dua kanan) disifatkan memiliki karakter dan keperibadian tersendiri. — Facebook/Sabah FC

NAMA pemain otai, Amri Yahyah menjadi bualan sejak kebelakangan ini kerana aksinya meniru gaya Faisal Halim meraikan gol selepas Sabah FC memperoleh kemenangan 2-1 ke atas Selangor FC.

Tindakan Amri berbuat demikian dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 27 April lalu dikatakan seperti menganjing Faisal yang meraikan gol dengan cara sedemikian.

Amri juga menerima kritikan hebat daripada legenda Selangor FC yang berasakan perbuatan itu seperti memperkecil-kecilkan majikan lamanya.

Di sebalik apa yang terjadi, kedua-dua pemain itu sudahpun berdamai dan memberi isyarat kepada peminat kepada kedua-dua kelab bahawa apa yang berlaku hanyalah gurauan tepi padang.

2048537

Faisal memuat naik semula hantaran daripada Instagram Amri. — Instagram @ratu_amri

Tambahan lagi, ada penyokong Selangor sendiri yang berasakan kedua-dua pemain itu memang sama naik dan terkenal dalam kalangan penyokong dengan kenakalan masing-masing.

Perkara sama juga diakui oleh Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, yang menyifatkan Amri memiliki karakter dan keperibadian tersendiri.

Kim Swee menerusi hantaran di Instagram Story pada Isnin memuat naik rakaman video menunjukkan keletah Amri yang juga mesra dengan panggilan Wak Am sepanjang bersama The Rhinos bagi dua musim.

Menerusi rakaman di akaun @oks_rhinos itu, Amri dilihat antara lain suka menari di dalam bilik persalinan, menyakat rakan sepasukan lain dan sentiasa happy-go-lucky semasa menjalani latihan.

"Warna-warni Amri (@ratu_amri) yang sentiasa mewarnai bola sepak negara," tulis Kim Swee.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan itu juga menyifatkan pemain berusia 42 tahun tersebut sebagai seorang pemimpin di dalam dan luar padang.

"Legend - leader on and off the field. (Legenda - pemimpin dalam dan luar padang).

"19 trophies and more to come....?? (19 trofi dan banyak lagi untuk akan datang)," katanya.

Amri yang juga anak jati kelahiran Selangor pernah diberi gelaran 'Golden Boy' apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan skuad Gergasi Merah pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2002 menentang Sabah FC.

Pemain itu juga pernah membantu Selangor merangkul kejuaraan treble iaitu Liga Perdana Malaysia, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2005 dan diberikan amanah memakai lilitan kapten pasukan Selangor pada musim 2009 hingga 2012. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram