'Kena ingat dari mana kita mula', 3 legenda Selangor tersinggung aksi 'Siuu' Amri Yahyah


  • Podium
  • Sabtu, 29 Apr 2023

Amri (kanan) bersama rakan sepasukannya selepas aksi Sabah menang 2-1 ke atas Selangor FC. — Facebook/Sabah FC

BUKAN hanya isu pengadil, namun gelagat pemain berpengalaman, Amri Yahyah juga mencuri banyak perhatian penyokong apabila dia dilihat meniru gaya sambutan Faisal Halim.

Penyokong yang melihat video Amri meraikan kemenangan pasukannya itu membuat spekulasi bahawa ia satu tindakan memerli pemain kelahiran Pulau Pinang terbabit.

Sejurus wisel penamat ditiup, bekas pemain Selangor FC itu tidak teragak-agak membuat gaya ‘Siuu’ yang cukup sinonim dengan Faisal dan perkara itu mendatangkan kemarahan penyokong GergasI Merah.

Ibarat jatuh ditimpa tangga, penyokong Gergasi Merah yang berduka dengan kegagalan pasukannya meraih tiga mata itu bertambah sakit apabila anak jati Tanjung Karang, Kuala Selangor bertindak sebegitu rupa.

Bekas pemain kebangsaan itu pernah mewakili pasukan Lembah Klang tersebut untuk beberapa tahun iaitu pada musim 2013 dan musim 2017-2019.

Justeru itu, ramai penyokong melontarkan rasa kecewa mereka terhadap pemain berusia 42 tahun itu dan perkara itu turut mendapat perhatian daripada tiga legenda pasukan Selangor.

Dalam satu sesi previu perlawanan antara Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC bersama Astro Arena, Azman Adnan, Nizaruddin Yusof dan Razman Roslan kurang bersetuju dengan tindakan Amri itu.

Ketiga-tiganya senada bahawa Amri perlulah menghormati bekas pasukannya terutamanya apabila dia memulakan karier bersama skuad Gergasi Merah, selain membina nama bersama kelab tersebut.

Menurut Azman yang pernah beraksi bersama Selangor pada 1993-1998, 2022 dan juga musim 2004, Amri sepatutnya lebih bersikap seperti seorang pemain profesional dengan menunjukkan sikap baik.

“Sebenarnya sebagai pemain bola sepak. Kita kena ingat dari mana kita bermula. Amri Yahyah naik bersama pasukan Selangor. Kita dapat lihat banyak pemain luar negara bila Mo Salah score lawan As Roma, dia hanya angkat tangan sahaja.

"Ini lain pula, dia buat begitu (menganjing) ketika perlawanan dah habis. Bagi saya benda itu tidak perlu. Sebagai pemain kenalah profesional, jaga adab dan jangan menyinggung perasaan. Lagipun dia orang Selangor. Sebagai pemain bola sepak, dia akan bertukar-tukar pasukan tapi bila bertemu dengan pasukan lama, tunjuk hormat," kata bekas pemain kebangsaan itu.

WhatsApp Image 2023-04-29 at 00.02.54

Azman kini merupakan salah satu pengulas untuk media tempatan.

Dalam pada itu, bagi Razman dan Nizaruddin, walaupun ramai pihak mengetahui karakter sering bergurau Amri namun ia bukanlah saat yang tepat berikutan dia hanya memanaskan bangku simpanan dan bukannya meraihkannya ketika jaringkan gol.

"Siapa kenal Amri akan tahu dia budak yang nakal. Kita suka juga dia begitu tapi apa dia buat semasa jumpa pasukan lama dia. Itu sedikit sebanyak menyinggung perasaan penyokong Selangor. Dia buat di bench sabah, memang niat nak menganjing ada. Bagi saya itu kalau boleh dielakkan di masa depan lagi baik," komen dari Razman.

"Ramai yang tak puas hati sebab dia anak jati Selangor kan. Dia pun di hujung karier dia dalam bola sepak kan, jadi saya rasa quite tersinggung dengan cara dia itu. Jika dia jaringkan gol, mungkin boleh terima tapi perlawanan dah habis," tambah Nizaruddin.

Dalam pada itu, Sabah meraih kemenangan 2-1 hasil jaringan Saddil Ramdani dan Baddrol Bahktiar pada minit ke-24 dan 66 manakala jaringan tunggal Selangor disumbangkan dari Faisal (minit 52).

Keputusan itu menyaksikan Sabah mengekalkan rekod kemenangan bersih di laman sendiri musim ini dalam enam perlawanan dan kini menduduki tangga ketiga liga dengan 22 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram