Legenda Sabah buka mulut, tepis kritikan pedas Faisal Halim


  • Podium
  • Sabtu, 29 Apr 2023

Faisal berasakan terdapat pihak luar yang sedang berusaha menjatuhkan pasukan Lembah Klang itu. — Facebook/Selangor FC

AKSI Liga Super antara Sabah FC dan Selangor FC pada Khamis sememangnya menjadi satu perbualan hangat penggemar bola sepak tanah air.

Kualiti pengadilan serta kemampuan pemain kedua-dua pasukan pastinya menjadi topik perbualan utama tatkala masing-masing sedang berusaha mengejar tangga kedua liga.

Tidak cukup dengan itu, gaya keraian kemenangan oleh penyerang sayap skuad Sang Badak, Amri Yahyah mencetuskan perdebatan hangat dengan ada yang mengatakan pemain itu sepertinya melupakan jasa pasukan Lembah Klang tersebut.

Tampil membincangkan perkara tersebut adalah beberapa bekas pemain Selangor FA, termasuk Razman Roslan dan Azman Adnan yang kurang berpuas hati dengan kelakukan di zon teknikal Sabah FC sejurus wisel penamat ditiupkan.

Namun, perkara utama di luar padang yang menjadi tumpuan berikutan aksi di Stadium Likas, Sabah itu ialah komen pemain sayap pasukan pelawat, Faisal Halim.

Menurut tonggak utama skuad Harimau Malaya itu, beberapa keputusan pengadil cukup menimbulkan tanda tanya sehingga menyebabkan Selangor FC terpaksa pulang dengan hampa.

Ia termasuk tindakan pengadil perlawanan, Hasrol Amir yang menghadiahkan sepakan penalti serta sepakan percuma walaupun dikatakan tiada kekasaran dilakukan pemain lawan.

“Kita tahu ramai yang ingin menjatuhkan pasukan Selangor, ramai yang tak senang hati dengan pasukan Selangor. Tapi inilah bola sepak, kita perlu bermain dengan adil dan kita perlu ingat tentang kejujuran,” katanya.

Luahan itu sememangnya mengundang kecaman daripada pelbagai pihak, terutamanya penyokong Sabah FC yang berasakan Faisal sukar menerima kekalahan.

Malah, legenda bola sepak Sabah, Scott Ollerenshaw juga tidak mahu ketinggalan memberi pandangannya mengenai komen yang dibuat pemain sayap berusia 26 tahun terbabit.

Dalam satu ciapan di laman Twitter peribadinya, bekas penyerang pasukan kebangsaan Australia itu membuat kritikan terbuka serta tidak bersetuju akan pandangan Faisal.

B910B27E-2A29-4BE9-9046-1B366FC1D2AB

Ollerenshaw (tengah) pernah menjadi import terbaik Liga Malaysia. Agensi

"Come on Mickey (Faisal), ketika Selangor kalah, boleh pula kamu katakan ada pihak yang cuba menjatuhkan Selangor. Apa jadi ketika kamu beraksi semua perlawanan di tempat sendiri sepanjang bulan Ramadan?

"Siapakah yang sebenarnya cuba untuk menjatuhkan Selangor? Sebelum ini, ketika segalanya berjalan lancar, kamu tiada buat apa-apa komen sekalipun," katanya.

Ollerenshaw merupakan seorang idola bola sepak di Sabah dengan statistik mengatakan dia berjaya menjaringkan 110 gol dalam 106 penampilan sepanjang tiga tahun bersama mereka.

Kini, dengan usianya sudah mencecah 55 tahun, pasukan Borneo tersebut memilih untuk melantiknya sebagai pengarah teknikal pada 2021 yang menyaksikannya sekali lagi bekerjasama dengan Datuk Ong Kim Swee.

Sabah FC ketika ini sedang menduduki tangga keempat Liga Super hasil kutipan 20 mata daripada 10 perlawanan dengan dua kekalahan dicatatkan.

Mereka bakal kembali beraksi di laman sendiri pada 19 Mei dengan pertemuan bersama Terengganu FC selepas kempen Sukan SEA berakhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram