PEMAIN Sabah FC, Amri Yahyah mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air selepas gayanya meraikan kemenangan Sang Badak ke atas bekas pasukannya, Selangor FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah.
Penyerang kelahiran Tanjung Karang, Selangor itu dilihat meraikan kejayaan manis pasukan The Rhinos dengan laungan 'siu' di tepi padang usai perlawanan.
Perkara itu menjadi tumpuan kerana gaya 'siu' berkenaan cukup sinonim dengan pemain Selangor FC, Faisal Halim dengan ada yang cuba membuat spekulasi ia satu tindakan memerli Faisal.
Faisal memuat naik semula hantaran daripada Instagram Amri. — Instagram @ratu_amri
Di sebalik insiden panas itu, Amri yang masih dalam mood beraya, mengambil keberkatan bulan Syawal dengan tampil menjernihkan keadaan supaya perkara tersebut tidak lagi diperbesar-besar oleh penyokong kedua-dua kelab.
Di Instagram @ratu_amri, Amri memuat naik foto dia dan Faisal berpelukan di tepi padang selepas perlawanan tamat.
Amri turut memuat naik ucapan selamat hari raya, maaf zahir batin dan tanda pagar 'tenang is good' di hantaran berkenaan.
Menariknya, hantaran berkenaan dimuat naik semula di Instagram rasmi Faisal, @faisalhalim.7 sekali gus memberi petunjuk bahawa tiada pertelingkahan timbul antara mereka berdua.
Entri berkenaan ibarat mesej bahawa apa yang berlaku di luar padang itu hanyalah insiden usik-mengusik antara adik dan abang.
Sabah FC ketika ini sedang menduduki tangga keempat Liga Super hasil kutipan 20 mata daripada 10 perlawanan dengan dua kekalahan dicatatkan.
Selangor FC pula masih unggul di tempat kedua di belakang skuad Johor Darul Takzim (JDT) dengan 22 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram