SRI PAHANG FC berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super apabila menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-1 pada Jumaat.
Keputusan itu memastikan skuad kendalian Fandi Ahmad kekal di tangga ketiga, berkongsi 22 mata bersama Selangor FC di tangga kedua namun dibezakan menerusi perbezaan jaringan.
Cuma di sebalik kemenangan itu, peminat Sri Pahang meluahkan kerisauan terhadap skuad kesayangan mereka apabila prestasi yang dipamerkan didakwa kurang baik.
Kegusaran itu bertambah parah apabila skuad Tok Gajah itu dijadualkan bakal menentang pendahulu semasa liga, Johor Darul Takzim (JDT) di tempat lawan pada 24 Mei depan.
Tidak hairanlah, peminat kesayangan Sri Pahang menegur cara permainan kelab itu yang dilihat agak goyah dan tidak berbisa.
Pemain-pemain Sri Pahang FC bersorak gembira selepas menjaringkan satu gol menentang TFC dalam Liga Super 2023 di Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu pada Jumaat. — Facebook/Sri Pahang FC.
"Alhamdulillah kita menang, tapi menang dengan cara mainan itu banyak sangat lagi kena repair. Hantaran bola slow macam budak baru main bola sepak, lepas itu biar orang bawa bola hingga dekat dengan tiang gol baru terhegeh-hegeh nak kejar.
"Entahlah, apa pun tahniah kita dapat kekalkan (rekod) tanpa kalah kita, hogoh Pahang hogoh," tegur Din Pahang.
Bagi Jamzili Jaafar Zamjaafar pula, walaupun dia bersyukur kelab bola sepak kesayangannya berjaya menumpaskan TFC, namun ia disifatkan sebagai satu kebetulan kerana persembahan skuad itu masih mengecewakan.
"Alhamdulillah, syukur Sri Pahang FC masih mampu kekalkan rekod tanpa kalah dan bawa balik tiga mata.
"Tapi, taktikal masih meraban (mencari-cari) lagi, menang pun atas faktor nasib baik saja. Apa pun tahniah Sri Pahang FC," katanya.
Berbeza pula dengan Shary Re yang tidak menyangka skuad Tok Gajah boleh membenamkan skuad Penyu dalam perlawanan sebelum ini.
"Tahniah Sri Pahang FC, tak sangka boleh menang. Saya jangkakan seri sahaja, " puji Shaari Umar.
Apa pun para pemain Sri Pahang usahlah berkecil hati dengan sindiran para peminat kerana sesungguhnya mereka hanya mahukan yang tebaik daripada skuad pujaan mereka.
Masih ada baki masa yang banyak untuk skuad Tok Gajah mempersiapkan diri sebelum berdepan JDT pada Mei depan, jadi manfaatkan detik tersebut untuk membaiki segala taktikal permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram