ENAM kemenangan, tiga kekalahan serta satu keputusan seri menyaksikan Kedah Darul Aman (KDA) FC perlu berpuas hati di kedudukan kelima setakat ini.
Meskipun hanya lapan mata dibezakan dengan pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT), penyokong Hijau Kuning pastinya masih kurang berpuas hati dengan prestasi mereka.
Ini kerana anak-anak buah Nafuzi Zain sepertinya masih belum membuktikan kebolehan di tahap 100 peratus sehingga mudah ditundukkan pihak lawan.
Tambahan pula, mereka berasakan skuad Sang Kenari seolah-olah tidak bersungguh-sungguh untuk membalas jasa pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar yang sudah melakukan pelaburan besar-besaran sepanjang jendela perpindahan yang lalu.
Antara pemain yang dikatakan gagal menampilkan aksi terbaik adalah pemain naturalisasi kebangsaan, Lee Tuck meskipun sumbangannya di hadapan pintu gol tidaklah terlalu mengecewakan.
Dia yang tiba dari Sri Pahang FC pada Januari lalu diberikan harapan yang cukup tinggi berdasarkan statistik serta reputasinya selepas lebih dari lima tahun dalam Liga Malaysia.
Tetapi, melihat kepada prestasinya sejak berhijrah ke Utara tanah air, pasti terdapat pelbagai perkara yang perlu diberikan perhatian olehnya.
Lee Tuck memaparkan kualitinya dari segi serangan serta pertahanan bersama skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Tamak, mudah melakukan kesilapan serta kerap kehilangan bola adalah antara perkara yang dikatakan mengenai pemain tengah kelahiran England itu.
Walaupun sudah merekodkan satu jaringan serta lima bantuan gol dalam sembilan penampilan, gaya permainannya dikatakan sedikit menggusarkan.
Bagaimanapun, pandangan tersebut tidaklah dikongsikan oleh majoriti besar penyokong Sang Kenari, termasuk Don K-Rul Izham yang percaya akan kepentingannya buat skuad Sang Kenari.
"Seberapa penting Lee Tuck kepada Nafuzi Zain? Mungkin 8/10. Dia ada dalam kesemua enam kemenangan pasukan dan hanya tidak bermain dalam satu perlawanan sahaja setakat ini.
"Dia mampu beraksi di posisi berbeza satu lagi sebab dan keperluan Lee Tuck kepada Nafuzi Zain. Dan, yang paling utama adalah faktor expected assist (xA) dari Tuck sangat tinggi," tulisnya.
Seperti mana yang dikatakan penyokong berkenaan, pemain berusia 34 tahun itu hanya tidak beraksi dalam Liga Super sebanyak sekali, iaitu ketika pertemuan antara KDA FC dan Sri Pahang FC di tempat lawan.
Jadi, ia sekali gus membuktikan kerjasama antara Lee Tuck dan Nafuzi cukup penting memandangkan kedua-dua mereka pernah bersama-sama di Terengganu FC.
Dalam masa sama, Don turut mengatakan terdapat beberapa kelebihan dan kelemahan ketara buat pemain berkenaan yang mana perlu diberikan penekanan oleh pihak kejurulatihan Sang Kenari.
"Kalau kita bercakap mengenai strength pemain ini, dia seorang yang memiliki kualiti dalam teknik passing, duel terutama graviti rendah, lay-off game.
"Dalam aspek weakness, Tuck bukanlah seorang pemain active crosser atau tackling dalam gaya permainan dia," tulisnya lagi.
Selepas ini, skuad kendalian Nafuzi bakal kembali untuk aksi Liga Super dengan pertemuan bersama Kelantan FC pada 19 Mei di Stadium Darul Aman, Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram