Akui masih rindukan Malaysia, 2 kelab Pantai Timur buru kepakaran Aidil Shahrin


  • Podium
  • Ahad, 30 Apr 2023

Hasil sumbangan Aidil Sharin, Persikabo 1973 kini berada di kedudukan ke-14 dan terselamat daripada penyingkiran ke divisyen bawahan. — Instagram/Aidil Sharin 

GAGAL sekali, bukan bermakna akan tersungkur selama-lamanya. Itulah situasi yang boleh menggambarkan perjalanan jurulatih pengendali dari Singapura, Aidil Sharin Sahak sejak meninggalkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan kembali menyinar di Liga 1 Indonesia bersama Persikabo 1973.

Aidil Sharin meninggalkan KDA FC dengan perasaan kecewa apabila Sang Kenari menamatkan saingan Liga Super 2022 di tangga kelapan sehingga pihak pengurusan terpaksa membuat keputusan untuk menamatkan kontraknya.

Namun begitu, selepas episod hitamnya bersama pasukan Sang Kenari semakin pudar apabila nama jurulatih berusia 45 tahun itu kembali disebut-sebut di negara jiran berikutan impak positif yang dilakukannya untuk kelab Persikabo 1973.

Bekas pengendali Home United itu tiba di Indonesia pada awal Januari tahun ini dan kini dia berhasil membuktikan kualitinya apabila menyelamatkan pasukan yang dikenali sebagai Laskar Padjajaran itu terselamat daripada penyingkiran ke divisyen bawahan.

Bukan itu sahaja, Aidil Sharin juga pernah sebagai jurulatih terbaik mingguan selepas kejayaannya menewaskan pasukan di tangga ketiga Liga 1 Indonesia, Persib Bandung 4-1.

WhatsApp Image 2023-04-30 at 09.11.08

Aidil Sharin menerima anugerah mingguan selepas menundukkan Persib Bandung 4-1. — Instagram/Aidil Sharin

Disebabkan perubahan positif tersebut, tidak hairanlah jika beberapa kelab Liga Indonesia dan Liga Malaysia (Liga M) difahamkan memburu kepakaran jurulatih yang pernah membawa Kedah menjulang trofi Piala FA pada 2019 itu.

Walaupun mendapat tawaran daripada dua kelab Indonesia, Aidil Sharin bagaimanapun mengakui bahawa beliau lebih berminat kembali ke Malaysia.

Perkara berkenaan didedahkan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam di laman Twitter miliknya.

“Aidil Sharin Sahak mendapat tawaran seperti Persikabo dan Persita Tangerang. Namun difahamkan lebih berminat kembali ke Liga Malaysia apabila turtu dikaitkan dengan Terengganu FC dan Kelantan United. Unfinished Business,” kongsi wartawan itu.

Tidak peliklah jika dua kelab Pantai Timur itu berminat untuk mendapatkan khidmat Aidil Sharin berikutan kedua-dua sedang bergelut untuk bertahan terutamanya Kelantan United F (KUFC) yang masih gagal mendapatkan kemenangan.

Nama pengendali skuad Kijang Hijau, Tomas Trucha menjadi nama kedua disebut-sebut akan mengikut jejak langkah Choi Moon-sik iaitu jurulatih pertama yang direhatkan musim ini oleh Kelantan FC pada Mac lalu.

Manakala, prestasi tidak menentu Terengganu FC (TFC) di bawah kendalian Tomislav Steinbrukner juga berkemungkinan menjadi faktor bagi pihak pengurusan mencari seorang pengendali baharu sebagai persediaan ke Piala AFC nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram