PEMILIK kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berharap agar tiada pihak yang cuba mengadakan-adakan cerita untuk menutup kegagalan mereka setiap tahun.
TMJ menerusi satu ciapan di laman Twitter rasminya memberi komen balas tersebut rentetan daripada kenyataan pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim yang mendakwa bahawa ada pihak mahu menjatuhkan skuad Gergasi Merah.
“Pertama sekali, saya harap tiada pihak cuba reka cerita untuk mengalih perhatian atas kegagalan setiap tahun.
“Kedua, saya mencadangkan untuk pemilik dan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif kelab) adakan forum untuk memberi semua penyokong peluang untuk tanya apa sahaja.
“Buat depan-depan lebih baik daripada baling batu sembunyi belakang penyokong,” kata TMJ.
Tangkap layar ciapan TMJ dan FK di Twitter. — Twitter
Ciapan Twitter itu juga bagi membalas kenyataan penyokong JDT, Farhan Khair atau FK yang mencadangkan agar isu tersebut dapat dijernihkan dalam forum terbuka secara langsung seperti yang dicadangkan sebelum ini.
"Mungkin yang terbaik adalah jika forum membabitkan Presiden dan CEO semua kelab bersama penyokong bola sepak diadakan seperti yang dicadangkan oleh TMJ.
"Rasanya kita semua boleh tanya dan dapat jawapan untuk apa-apa sahaja, tak begitu saudara @MuhdFirdausAR?," ciap FK.
Faisal sebelum ini mendakwa kononnya ada pihak mahu menjatuhkan skuad Gergasi Merah. — Bernama
@MuhdFirdausAR sebelum itu memuat naik ciapan tentang kenyataan Faisal yang dikaitkan dengan JDT.
"Tak, yang peliknya FH7 (Faisal) tak ada pun mention JDT tapi kenapa quote banyak daripada sahabat bola JDT ni? Pelik.
"JDT dah terlalu jauh tinggalkan Selangor dan pasukan lain. Apa yang JDT nak dari Selangor pun kita tak tau.
"TMJ sendiri kerap mention Selangor. Apa sebenarnya isunya? Tak faham," ciapnya.
Sebelum ini, TMJ mencadangkan agar satu forum terbuka secara langsung antara pemilik dan CEO kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) dibuat supaya penyokong boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai pasukan masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram