LAPTOP Cabuk menemui pembaca lagi. Berinspirasikan minda tua yang mungkin sudah berkarat, karya ini dan seterusnya akan cuba menyingkap cerita di sebalik tabir dan sesuatu yang mungkin terlepas daripada pengamatan ramai untuk sama-sama memeriah dan meraikan Liga Malaysia musim 2023.
KEKALAHAN, sekalipun kepada seorang jurulatih berpengalaman yang sudah banyak menempuh suka-duka dalam bola sepak seperti Tan Cheng Hoe, tetap sukar untuk ditelan.
Pelbagai persoalan 'jika itu' dan 'jika ini' yang bermain-main di fikirannya susulan kekalahan 1-2 kepada Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Khamis di sebalik keputusan yang memihak kepada tuan rumah itu tetap tidak akan berubah.
Memilih untuk menyepi sebentar – pada ketika media sosial terus riuh-rendah dengan berbagai-bagai analisis dan kesimpulan -- ketua jurulatih Selangor FC itu mengakui banyak menghabiskan masa memikirkan secara mendalam perancangan berikutnya.
“Mana-mana jurulatih pun akan terkesan sedikit apabila pasukannya mengalami kekalahan. Saya akui kecewa kerana percaya kami sekurang-kurangnya mampu meraih keputusan seri,” ceritanya kepada Laptop Cabuk.
Selangor FC gagal menyerlah ketika berkunjung ke Stadium Likas baru-baru ini. — Facebook/ Sabah FC
Kecewa kerana memikirkan rentetan lima kemenangan berturut-turut dalam aksi di Lembah Klang sebelum itu harus memadai untuk mereka meneruskan momentum apabila berkunjung ke tempat lawan buat kali pertama sejak kunjungan ke luar ke Pulau Pinang pada 12 Mac lalu.
Juga kecewa kerana gol penyamaan awal Faisal Abdul Halim untuk mengikat kedudukan 1-1 hanya lapan minit selepas permainan bersambung dalam separuh masa kedua, tidak cukup untuk melonjakkan mereka pulang dengan keputusan lebih bermakna.
“Memang benar kami sedang berada dalam momentum yang baik sebelum menentang Sabah.
“Kesudahannya, kekalahan ini tidak boleh dipersalahkan kepada hanya seorang atau dua pemain yang dikatakan kurang menyerlah tapi tanggungjawab semua pemain sebagai sebuah pasukan.
“Selepas gol awal kami dalam separuh masa kedua itu, saya ada berkata (kepada penolong jurulatih) yang kami mungkin boleh mencapai sesuatu tapi ia tidak berlaku,” tambahnya.
Gol Faisal Halim tidak cukup untuk melonjakkan Selangor FC untuk pulang dengan keputusan lebih bermakna. — Facebook/ Selangor FC
Dia juga tidak bersetuju jadual yang menetapkan satu rentetan perlawanan yang panjang di tempat sendiri sebagai tidak memberi kelebihan kepada pasukannya menjelang pertemuan dengan Sabah itu.
Begitu juga deretan perlawanan di tempat lawan secara berantai buat sesetengah pasukan, tidak boleh dianggap sebagai satu kelebihan.
“Tidak ada situasi yang ideal sebenarnya membabitkan jadual kerana semuanya perlu diharungi,” katanya.
Untungnya Liga Super berhenti tiga minggu untuk meluangkan kepada penyertaan skuad B-22 negara dalam Sukan SEA Kemboja, yang bermakna kesemua pasukan boleh memanfaatkan tempoh itu untuk pemulihan dan merangka persiapan baru.
Cheng Hoe berkata, selepas cuti lima hari, pemain-pemain akan kembali berhimpun untuk menjalani program latihan yang sudah disediakannya untuk mempersiapkan mereka daripada segi fizikal dan mental bagi cabaran selanjutnya.
“Kami harus kembali kepada rangka persiapan yang menuntut latihan dan prestasi terus dipertingkatkan selepas ini. Tidak terkecuali juga latihan individu di mana-mana bahagian yang dirasa perlukan penambahbaikan.
“Selangor FC masih berada di landasan yang baik (dengan kekal di tangga kedua) selepas hanya dua kekalahan (daripada 10 perlawanan).
“Pada masa sama, kami harus lebih peka dengan pasukan-pasukan lain yang semakin merapatkan jurang mata dengan kami,” katanya.
Cheng Hoe berasakan belum ada keperluan untuk menukar pemain menjelang jendela perpindahan kedua. — Facebook/ Sabah FC
Sambil beberapa pasukan sudah berkira-kira untuk merombak pasukan dengan membawa masuk pemain baru dalam jendela perpindahan kedua, Cheng Hoe membayangkan untuk terus menyandarkan harapan kepada kelompok pemain sedia ada.
Baginya, masih terlalu awal untuk menilai jika ada antara mereka yang tidak memenuhi piawaian ditetapkan kerana 10 perlawanan belum mencukupi untuk sesetengah pemain, termasuk tenaga asing, menyerlahkan potensi sebenar mereka.
“Saya bukan mengatakan tidak. Buat masa ini, saya rasa belum ada keperluan (menukar pemain). Jadi, saya ambil sikap tunggu dan lihat dan akan berbincang dengan pengurusan apabila sampai waktunya nanti,” ujarnya.
Selangor masih berbaki tiga perlawanan dalam pusingan pertama liga ini, dengan berdepan Perak FC di tempat lawan (20 Mei), Kedah FC di Petaling Jaya (24 Mei) dan PDRM FC di tempat lawan (3 Jun).
Cheng Hoe (kiri) mahu memusatkan semula fokus dan memikirkan penyelesaian terbaik buat pasukan.
Berbalik kepada ‘kemurungan’ seketikanya, bekas jurulatih kebangsaan dan Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016 yang dalam acuan 'makan bola, tidur bola' itu hanya mahu mententeramkan perasaan, memusatkan semula fokus dan memikirkan penyelesaian terbaik buat pasukan.
“Sebagai jurulatih yang sudah lama dalam lapangan ini, saya harus bersedia dengan suka-duka dalam bola sepak.
“Ia memerlukan orang seperti saya sentiasa kuat dalam menghadapi apa saja kemungkinan kerana bermacam bentuk cabaran harus dijangkakan.
“Lagipun, kami tidak akan menang semua atau kalah semua kerana akan sentiasa ada hari-hari yang baik dan ada hari-hari yang tidak.
“Apa yang penting ialah kami tidak boleh berhenti bekerja,” katanya lagi. —Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram