PENANG FC terus mencatatkan rentak memberangsangkan dalam Liga Super selepas menundukkan Kuching City FC 2-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Khamis.
Tiga mata yang dikumpul itu meletakkan mereka di kedudukan ketujuh hasil kutipan 14 mata selepas memulakan kempen kali ini dengan langkah kiri.
Rentak positif tersebut dikatakan berpunca daripada sentuhan pembantu jurulatih, Manzoor Azwira Abd Wahid yang diberi kepercayaan mengemudi kelab itu selepas Chong Yee Fatt terpaksa berehat berikutan isu kesihatan.
Namun, bagi sesetengah penyokong yang lain, momentum itu diraih beberapa pemain yang tampil meningkatkan persembahan masing-masing bagi membantu pasukan.
Penyerang kelahiran Lubnan, Soony Saad dikatakan sebagai antara yang muncul sebagai wira skuad Harimau Kumbang selepas menjaringkan lima gol daripada sembilan penampilan dalam liga.
Rembatan kencang dan kepantasannya untuk membawa bola ke kawasan pihak lawan sememangnya kerap diberikan perhatian dalam membantu kebangkitan Penang FC.
Bagaimanapun, terdapat kerisauan dalam kalangan peminat fanatik kelab Utara tanah air itu selepas pemain berusia 30 tahun itu mendedahkan bahawa dia sudah menerima tawaran daripada sebuah kelab Liga Malaysia.
Ia sememangnya sukar untuk diterima memandangkan mereka terlalu mudah kehilangan bintang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun, kegusaran itu sekali lagi memuncak apabila seorang lagi ayam tambatan pasukan juga dikatakan mula dirisik sebuah pasukan tempatan.
Ousmane Fane (kiri) cukup penting buat skuad Harimau Kumbang musim ini. — Facebook/Penang FC
Pemain tengah kelahiran Perancis, Ousmane Fane dikaitkan dengan perpindahan selepas muncul sebagai antara import dengan persembahan konsisten buat skuad Harimau Kumbang.
Dia yang tiba dari kelab bawahan England, Morecambe FC sudah diturunkan sebanyak enam kali musim ini dengan diberi tugasan untuk menyekat serangan pihak lawan.
Khabar angin itu berpunca daripada perkongsian ejennya menerusi akaun Instagram @shekoo1989 selepas kemenangan Penang FC ke atas Kuching City FC.
"Selepas beberapa perlawanan sahaja, beberapa tawaran baik untuk Soony dan Ousmane dalam negara dan juga di luar. Ada sebuah kelab gergasi Liga Malaysia mahukan Soony," tulis ejen tersebut.
Melihat kepada perkara itu, Ousmane pastinya menarik mana-mana kelab yang masih buntu untuk mencari seorang pemain tengah bertahan yang berkualiti.
Hantaran daripada ejen kedua-dua pemain tersebut baru-baru ini.
Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kelantan FC sepertinya satu destinasi yang munasabah memandangkan kedua-dua pasukan itu mudah dibolosi selepas 10 perlawanan Liga Super.
Sementara itu, Kuala Lumpur (KL) City FC juga boleh menjadi antara pasukan relevan memandangkan mereka terpaksa meletakkan pemain tengah, Kenny Pallraj di posisi pertahanan.
Bagaimanapun, dengan ejen kepada Ousmane masih tidak mendedahkan perkara itu, ia dilihat sebagai satu spekulasi menjelang jendela perpindahan kedua.
Pemain berkenaan sememangnya mempunyai satu daya tarikan dengan struktur fizikalnya yang mampu memainkan peranan penting, lebih-lebih lagi dalam Liga Super.
Malah, kebolehannya untuk membaca hantaran pihak lawan juga perlu diberikan perhatian dengan kehadirannya membantu meringankan beban benteng pertahanan skuad Harimau Kumbang.
Tidak cukup dengan itu, kebolehannya untuk menyesuaikan diri dalam suasana baharu juga menjadi satu aset utama memandangkan ia mampu menjadi batu penghalang kepada seseorang import untuk menyerlah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram