Safuwan kongsi berita duka, skuad Jang tempang tanpa 2 tonggak lawan KDA FC


  • Podium
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Safuwan boleh dianggap sebagai salah seorang tonggak bagi menggantikan Saiful di posisi pemain tengah bertahan. — Facebook/Negeri Sembilan FC

KEHILANGAN tonggak utama, seperti Syihan Hazmi dan Khuzaimi Piee menyebabkan Negeri Sembilan FC terus dilanda prestasi tidak meyakinkan musim ini.

Selepas lapan perlawanan, skuad Jang hanya mengumpul 10 mata hasil daripada dua kemenangan serta empat keputusan seri dalam saingan Liga Super.

Isu tersebut pastinya sukar diterima rata-rata penyokong, terutamanya ketika mereka tewas di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dengan keputusan memalukan 0-7 di laman sendiri.

Pemilihan pemain ketika jendela perpindahan dikatakan sebagai antara punca pasukan berkenaan terus merosot dengan mereka berada di kedudukan kesembilan ketika ini.

Penyerang kelahiran Brazil, Casagrande merupakan antara yang disebut-sebut sebagai pelaburan kurang berkesan daripada Negeri Sembilan FC setakat ini.

Walaupun sudah menjaringkan tiga gol dan mencipta dua bantuan jaringan, gaya permainan bekas pemain Penang FC itu kurang memberi impak dalam merencanakan gerakan pasukan.

Namun, baru-baru ini, terdapat khabar angin mengatakan penyerang tersebut tidak dapat diturunkan menjelang aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Jumaat.

340931294_538049345077780_4619326305850178336_n

Ketiadaan Casagrande (kanan) akan melumpuhkan jentera serangan skuad Jang. — Facebook/Negeri Sembilan FC

Hal itu berpunca daripada satu hantaran daripada pemain tengah Negeri Sembilan FC, Safuwan Baharudin di Insta Story peribadinya.

Lebih merisaukan lagi, terdapat juga kemungkinan skuad Jang bakal tempang selepas turut kehilangan khidmat pemain berusia 31 tahun, Saiful Ridzuwan.

"Saya mendoakan kedua-dua anda diberikan kesembuhan dengan segera. Kepada Wak Pul (Saiful), saya harap anda dapat kembali dengan lebih baik.

"Semoga segala urusan dipermudahkan esok (Sabtu) dan kami harap akan dapat bertemu anda selepas pembedahan. Semoga terus kuat, kami sentiasa dengan anda," tulis Safuwan.

WhatsApp Image 2023-04-28 at 12.01.27

Hantaran Safuwan di laman Insta Story peribadinya menarik perhatian penyokong Negeri Sembilan FC.

Kehilangan kedua-dua pemain itu pastinya memberi impak kepada kestabilan anak-anak buah Devan yang sedang berusaha mendaki tangga liga.

Bagi Casagrande, sumbangannya setakat ini meletakkannya sebagai penjaring terbanyak Negeri Sembilan FC dalam kempen Liga Super 2023.

Untuk Saiful pula, tiga penampilannya selepas lapan perlawanan tidak mengangkatnya antara tonggak skuad Jang dengan posisinya ketika ini diambil Safuwan.

Namun, sekiranya dilihat pada 2022, bekas pemain Melaka United tersebut boleh dianggap sebagai antara pemain utama selepas hanya tidak beraksi dalam tiga aksi liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram