EMPAT kemenangan dalam lima perlawanan terakhir Liga Super meletakkan Penang FC di tangga ketujuh selepas 10 perlawanan hasil 14 mata yang dikutip.
Kemenangan bergaya 2-1 yang dicatatkan ketika bertemu pasukan bergelut Liga Super, Kuching City FC sememangnya cukup bermakna memandangkan mereka memulakan musim ini dengan langkah kiri.
Meskipun ketinggalan pada awalnya, skuad Harimau Kumbang tidak melayangkan bendera putih terlalu awal dengan mengikat kedudukan menerusi jaringan Khairul Akmal Rokisham pada minit ke-45.
Namun, tiga mata sah menjadi pasukan Utara tanah air itu selepas rembatan deras penyerang kelahiran Lubnan, Soony Saad meletakkan jurang antara kedua-dua pasukan.
Sumbangan itu menjadikan pemain berkenaan sebagai peledak terbaik dimiliki skuad Harimau Kumbang pada 2023 dengan dia sudah menjaringkan lima gol daripada lapan penampilan.
Jadi, dengan dia menghadiahkan tiga mata berharga pada Khamis malam, namanya terus dijulang dengan sesetengah pihak mula mengatakan dia layak untuk digelar pemain terbaik Penang FC pada 2023.
"Teknik tendangan Soony Saad memang padu dan terbaik. Terdapat sesuatu yang cukup istimewa mengenainya," kata Md Azrie.
"Semangat betul saya lihat Soony ni bermain. Sudah jatuh sekali pun cukup bersemangat untuk kembali bangun," kata Alif Farhan.
"Pada saya, Soony ni memang bagus dan merupakan seorang import yang berkualiti," kata Alam Kucing.
Selepas ini, skuad Harimau Kumbang bakal berkunjung ke Stadium Darul Makmur, Pahang untuk bertemu skuad Tok Gajah pada 20 Mei. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram