Manuel Ott antara 3 import disebut perlu 'recycle' dengan bintang alumni


  • Podium
  • Rabu, 26 Apr 2023

Meskipun menjadi arkitek 'Nafuzi Ball', Ott dilihat masih gagal menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan baharu. — Facebook/KDA FC

KEMEROSOTAN prestasi pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) nyata mengundang kerisauan penyokong Hijau Kuning dalam menghadapi pusingan kedua Liga Super.

KDA FC yang kini menduduki tangga kelima Liga Super dengan mencatatkan lima kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan membuatkan penyokong tidak berpuas hati.

Prestasi pemain-pemain import baharu seperti Willian Lira, Manuel Ott dan Manuel Hidalgo turut mendapat kritikan daripada penyokong Sang Kenari.

Lee Tuck turut mendapat kritikan daripada penyokong KDA FC. — Facebook/KDA FC

Meskipun hadir dengan reputasi besar atas kecemerlangan dengan kelab terdahulu pemain-pemain import ini dilihat masih gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan yang dibawa Nafuzi Zain.

Malah terdapat permintaan dari penyokong-penyokong Hijau Kuning untuk menukar tiga pemain itu dengan bekas import lama yang pernah menabur bakti di negeri Jelapang Padi itu.

Majoriti senaraikan tiga nama yang dipetik penyokong KDA FC untuk menggantikan pemain import sedia ada.

Penyokong Sang Kenari mahu Lira (kiri) digantikan dengan Thiago (kanan).

1. Willian Lira - Thiago Agusto

Dalam sembilan perlawanan Liga Super, Willian Lira hanya berjaya jaringkan tiga gol dalam semua permainan sepanjang dimainkan oleh Nafuzi Zain.

Pemain kelahiran Brazil yang sebelum ini beraksi di Jepun tampil cemerlang dalam perlawanan pra musim sehingga memberikan gambaran positif buat peminat.

Namun kecemerlangan itu gagal diteruskan di mana KDA FC memerlukan sentuhan jaringannya untuk memberikan saingan dalam Liga Super.

Penyokong mula mahukan Thiago Agusto kembali menyertai Kedah selepas beraksi untuk pasukan itu pada 2016.

Pemain yang kini berusia 32 tahun itu tampil cemerlang ketika bersama KDA FC sehingga berjaya menambat hati penyokong-penyokong Hijau Kuning.

Thiago musim ini sedang beraksi bersama Hidd SCC dalam Liga Bahrain selepas berpindah dari kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Bataeh CSC.

Ott (kiri) masih belum mampu menyaingi kehebatan Sandro (kanan) di Kedah.

2. Manuel Ott - Sandro Mendonça

Manuel Ott antara pemain yang mengikuti Nafuzi Zain berhijrah ke pasukan KDA FC musim ini turut dikritik penyokong-penyokong Sang Kenari.

Antara arkitek 'Nafuzi Ball', Ott dilihat masih belum menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan baharu untuk mengulangi kejayaan seperti mana bersama Terengganu FC musim lalu.

Pemain kebangsaan Filipina ini turut dicadangkan penyokong untuk ditukarkan menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M)

Antara pemain yang dicadangkan oleh penyokong Hijau Kuning ialah bekas pemain import KDA FC iaitu Sandro Mendonça.

Sandro menjadi salah seorang pemain import terbaik yang pernah dimilik oleh pasukan Kedah semasa di bawah bimbingan bekas jurulatih kebangsaan iaitu Tan Cheng Hoe.

Menurut laman sesawang Transfermarkt, pemain berusia 39 tahun itu bergelar ejen bebas selepas dilepaskan oleh Sarawak United pada musim lepas.

Kipre (kanan) pernah mencatatkan 14 assist bersama skuad Sang Kenari.

3. Manuel Hidalgo - Kipre Tchetche

Antara pemain import muda yang sedang beraksi dalam Liga Malaysia, Hidalgo yang hadir dari kancah bola sepak Inggeris pada 2021 nyata menarik perhatian penyokong bola sepak tempatan.

Mempunyai skill individu dan gelecekan yang baik menjadi antara penyebab barisan kejurulatihan KDA FC tertarik untuk membawanya ke dalam skuad Hijau Kuning.

Pernah beraksi dalam Liga Argentina, Portugal, Itali dan England menunjukkan gambaran jelas bahawa prospek jangka masa panjang KDA FC ini mempunyai pengalaman yang luas.

Beraksi sebagai pemain sayap, Hidalgo setakat ini hanya berjaya menjaringkan dua gol dan dua assist dalam sembilan perlawanan Liga Super.

Statistik yang ditunjukkan oleh Hidalgo masih belum boleh membuatkan penyokong Kedah jatuh cinta dengan permainannya.

Malah penyokong turut mahukan pemain kelahiran Argentina ini ditukarkan dengan penyerang KL City, Kipre Tchetche.

Kipre yang pernah mewakili Kedah pada 2020-2021 berjaya merekodkan 17 gol dan 14 assist dalam 32 penampilan bersama Sang Kenari.

Musim ini Kipre menyertai Kuala Lumpur City FC iaitu merupakan pasukan ketiganya dalam Liga Malaysia sepanjang beraksi di negara ini sejak 2019. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram