'One to watch', 5 penjaring terbanyak di Asean untuk diburu kelab Liga M


  • Podium
  • Jumaat, 28 Apr 2023

Supachai Chaided satu-satunya pemain tempatan yang menjadi penjaring terbanyak di dalam liga bola sepak sekitar rantau Asean. — Agensi

SEJAK akhir-akhir ini bola sepak Asia Tenggara atau Asean menunjukkan peningkatan yang ketara di dalam dunia bola sepak.

Ini dapat dilihat menerusi kelab-kelab di Asean seperti Buriram United (Thailand), Johor Darul Takzim (Malaysia), Lion City Sailors (Singapura) dan beberapa pasukan serantau sedang menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

Dengan kemasukan pemain asing ke dalam liga-liga sekitar Asean, beberapa statistik seperti penjaring terbanyak liga didominasi dengan ‘awang import’ ini.

Namun begitu, pemain tempatan juga mampu memberikan saingan dan berjaya mengisi carta-carta penjaring terbanyak liga-liga Asean.

Dengan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang semakin hampir membuka tirainya pada Jun, pastinya pasukan-pasukan sedang memburu import baharu bagi memperbaiki prestasi kelab masing-masing.

Tidak perlu ke Eropah untuk mencari pemain berkualiti, Majoriti senaraikan lima 'top scorer' dalam liga bola sepak sekitar Asean.

Chaided musim ini mewakili Buriram United. — Agensi

1. Supachai Chaided (Liga Thailand)

Baru berusia 24 tahun, namun pemain kelahiran Thailand ini sudah menjadi raja penjaring terbanyak dalam Thai League 1 dengan 16 jaringan gol.

Supachai Chaided menewaskan empat pemain import yang lain untuk dinobatkan sebagai penjaring terbanyak bersama Buriram United.

Pemain kebangsaan Thailand itu turut membantu pasukannya menjuarai Liga Thailand bersama-sama kapten Harimau Malaya, Dion Cools.

Menurut laman sesawang Transfermarkt, nilai pasaran semasa Chaided adalah sekitar RM2.9 juta bagi mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Taniguchi baru berusia 23 tahun musim ini. — Agensi

2. Ryoya Taniguchi (Liga Singapura)

Pemain kelahiran Jepun ini berjaya menjadi penjaring terbanyak Liga Singapura sebagai walaupun bermain di posisi tengah.

Rekod jaringan dan bantuan gol yang dilakukan Taniguchi sangat menarik perhatian pemerhati bola sepak di Singapura.

Lapan gol serta tiga assist dalam sembilan perlawanan dengan kesemuanya sebagai kesebelasan utama merupakan aset penting buat pasukan Balestier Khalsa mengekalkannya dalam kelab itu.

Namun pemain berusia 23 tahun ini pastinya akan membuatkan kelab-kelab di Malaysia tertarik untuk membawanya menjelang perpindahan kedua Liga M yang akan dibuka pada Jun.

Pato mempunyai rembatan padu seperti penyerang JDT, Bergson da Silva, selain berlari laju. Agensi

3. Matheus Pato (Liga Indonesia)

Penyerang berketinggian 1.85 meter (m) ini seharusnya menjadi perhatian banyak kelab Liga Super kerana rekod jaringannya di dalam Liga Indonesia.

Pato yang baru berusia 27 tahun kini menduduki carta tertinggi penjaring terbanyak Liga Indonesia dengan 25 jaringan dalam 32 perlawanan.

Kelebihan Pato ialah dia mempunyai rembatan yang padu seperti penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva serta mempunyai larian pantas.

Pemain ini banyak menghabiskan karier bola sepak di negara kelahirannya, Brazil sebelum berhijrah ke Asia dengan menyertai kelab Korea Selatan dan Indonesia.

Menurut laman sesawang Transfermarkt, tanda harga Pato ialah lebih RM1.9 juta.

Rafaelson berjaya jaringkan tujuh gol dalam setiap perlawanan setiap kali diturunkan oleh pasukannya. — Agensi

4. Rafaelson (Liga Vietnam)

Berusia 26 tahun, Rafaelson yang sudah lama beraksi dalam Liga Vietnam membuktikan pengalaman di negara itu.

Dalam tujuh perlawanan, dia berjaya jaringkan tujuh gol dalam setiap kali diturunkan.

Selain bermain sebagai penyerang, Rafaelson juga turut boleh diturunkan sebagai pemain sayap kiri sekali gus memberikan kelebihan buat pasukan yang diwakilinya.

Sudah empat tahun bermain dalam Liga Vietnam serta kaya dengan pengalaman di rantau Asean, Rafaelson pastinya akan menjanjikan banyak kelebihan kepada pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya.

Horikoshi berjaya menjaringkan lapan gol dan melakukan dua assist pada musim ini. — Agensi

5. Daizo Horikoshi (Liga Filipina)

Pemain sayap kelahiran Jepun ini sedang menikmati musim cemerlangnya bersama Kaya FC-Iloilo apabila sedang mendahului penjaring terbanyak Liga Filipina.

Dalam 11 penampilan, Horikoshi berjaya menjaringkan lapan gol dan melakukan dua assist pada musim ini.

Pernah beraksi dalam Liga Singapura bersama Albirex Niigata, pemain berusia 26 tahun ini sangat berpengalaman bermain di rantau Asean. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram