MASALAH kesesakan lalu lintas semasa perayaan Aidilfitri jelas membuatkan orang ramai terkesan daripada segi mental untuk menempuh perjalanan yang lama.
Gelagat seorang pemandu Perodua Myvi tular di media sosial apabila dipercayai cuba membuli pengguna jalan raya lain dengan menekan brek secara berkali-kali sambil diekori dapat oleh pemandu Toyota Vellfire.
Menerusi video yang dikongsikan oleh @Jnmalaysia di Twitter, pemandu Myvi berkenaan dilihat cuba membaling botol ke arah kereta Toyota Vellfire selepas menukar ke laluan tengah.
Berdasarkan video berdurasi 52 saat itu, pemandu Myvi berkenaan kemudiaannya dirakam seperti menunjukkan isyarat lucah sambil memaki ke arah kenderaan Vellfire berkenaan.
Tidak pasti punca pergaduhan tersebut, namun lokasi kejadian dipercayai berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan semasa perayaan Aidilfitri baru-baru ini.
Insiden itu turut mendapat perhatian daripada orang ramai dengan rata-ratanya meninggalkan pelbagai komen yang tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan kedua-dua pemandu terbabit.
"Zaman sekarang, boleh tidur tilam dekat rumah nak juga merasa tidur dalam lokap," kata @Askrough22.
"Kadang-kadang yang bawa van Vellfire ini pun suka buat hal juga, lepas itu berjumpa pula dengan King, faham-fahamlah apa akan jadi," ujar @HairriM.
"Ada tak undang-undang trafik bagi kesalahan cucuk belakang kenderaan orang lain?" soal @Wallawaniey.
Setakat ini pihak berkuasa masih belum ada sebarang kenyataan berhubung kejadian pergaduhan itu.
Perbuatan ini tidak seharusnya menjadi teladan tetapi ia dipaparkan supaya orang ramai berhati-hati dalam apa juga keadaan dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram